Arca pasir Hari Natal tarik tumpuan pengunjung pantai Tanjung Aru

Arca pasir Hari Natal tarik tumpuan pengunjung pantai Tanjung Aru

Kota Kinabalu: Pengunjung pantai Tanjung Aru, di sini, pasti tertarik melihat kumpulan arca pasir yang dibina sempena sambutan Hari Natal yang disambut Ahad ini.

Arca pasir yang berupa sebatang pokok Krismas, ‘snowman’ dan kad ucapan Hari Natal itu menjadi tumpuan orang ramai tanpa mengira bangsa dan agama.

Benjamin bersama arca pasir bertemakan ‘Hari Natal’ di Pantai Tanjung Aru.

Pengukirnya, Benjamin David, 62, berkata, melihat karya seninya itu diberi perhatian dan penghargaan seperti itu cukup menggembirakan hatinya.

Sejak pertama kali berkecimpung dalam penghasilan arca pasir pada Februari lalu, beliau sering mendapat inspirasi untuk menghasilkan karya apabila tiba musim perayaan seperti Pesta Kamaatan dan Hari Raya.

Antara pengunjung yang datang untuk melihat sendiri keunikan arca pasir di Pantai Tanjung Aru.

“Berbilang kaum, itulah satu konsep saya kerana saya lebih utamakan perpaduan. Apabila saya hasilkan ini, saya nampak ia bukan sahaja diminati mereka yang beragama Kristian tetapi juga mereka yang berlainan agama.

“Apabila saya lihat mereka datang dan merakam gambar kenangan bersama karya ini, saya rasa puas hatilah,” katanya ketika ditemui di Pantai Tanjung Aru, baru-baru ini.

Antara arca pasir yang pernah dihasilkan oMr Sandman yang bertemakan Hari Kemerdekaan dan alam sekitar.

Menceritakan semula pengalamannya, Benjamin berkata, beliau sering ke kawasan itu dan melihat longgokan pasir yang terkumpul setiap kali berlaku fenomena air pasang.

Daripada itu, beliau mendapat inspirasi untuk menghasilkan sesuatu yang boleh memberi manfaat kepada persekitaran sekeliling.

“Saya sendiri tidak pandai melukis, tetapi saya ingin mencuba. Dan dari situ saya praktis untuk meningkatkan kemahiran saya.

“Setiap kali saya lihat arca yang saya hasilkan rosak, saya tidak patah semangat, malah saya akan buat pembaikan demi pembaikan dan dari situ saya belajar.

Dalam pada itu, beliau yang juga dikenali sebagai ‘Mr Sandman’ berkata, ilustrasi setiap arca yang dihasilkan datang daripada inspirasinya sendiri.

Jelasnya, beliau lebih selesa untuk mengukir secara spontan tanpa merujuk mana-mana gambar rujukan.

“Untuk reka bentuk kali ini, saya ingin bawa kelainan kepada tradisi memberi kad ucapan ‘Hari Natal’ kepada saudara mara dan kenalan. Saya hanya sampaikan mesej menerusi arca pasir ini,” katanya lagi.

Benjamin mula menghasilkan arca sempena Hari Natal itu pada 16 Disember lalu dan perlahan-lahan menyiapkan setiap imej sebelum siap sepenuhnya pada 18 Disember.

Beliau turut menyatakan hasrat untuk meneruskan minat itu pada masa akan datang sempena perayaan atau sekadar karya estetik.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|