Latihan tingkatkan kecekapan hadapi kebakaran

Latihan tingkatkan kecekapan hadapi kebakaran

Tawau: Menyedari pentingnya pendedahan dan latihan menghadapi kebakaran bagi mengelak kejadian tidak diingini, pengurusan Hospital Tawau, dengan beberapa agensi kerajaan mengadakan latihan kebakaran di hospital berkenaan, hari ini.

Penolong Pengarah Hospital Tawau, Dr Pang Chun Shong berkata, pihaknya memandang serius mengenai kebakaran terutamanya yang membabitkan di bangunan hospital.

Pang (tengah) ketika ditemui media selepas mengadakan latihan kebakaran berkenaan di Hospital Tawau.

“Kebakaran boleh berlaku pada bila-bila masa sahaja tanpa disedari dan perlunya semua kakitangan hospital mempunyai pengetahuan sekiranya berhadapan dengan situasi tersebut.

“Justeru, Hospital Tawau menjalankan latihan ini supaya dapat memberi panduan cara bertindak bagi menghadapi sebarang kemungkinan melibatkan kebakaran,” katanya ketika ditemui, hari ini.

Kakitangan hospital yang terbabit dalam latihan kebakaran di Hospital Tawau.

Menurutnya, latihan ini sepatutnya adalah acara tahunan yang wajib dilaksanakan, namun sejak berlakunya pandemik COVID-19 ia tidak dapat dilakukan.

“Bagaimanapun, tahun ini, ia dapat dilaksanakan semula dan mengambil keputusan untuk diadakan di Jabatan Kecemasan dan Trauma yang mana antara jabatan menerima pesakit teramai.

“Selain itu, latihan kali ini juga, turut membabitkan agensi luar termasuklah kakitangan Klinik Kesihatan Tawau,” katanya.

Jelasnya lagi, Jabatan Kecemasan dan Trauma dipilih kerana ia dilihat sangat aktif dan mempunyai banyak prosedur setiap hari.

“Kesedaran dan persediaan semua kakitangan di jabatan itu adalah sangat penting, disamping mengurus semua pesakit sekiranya menghadapi kebakaran,” katanya.

Sementara itu, Pegawai Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tawau, Madzlan Sarman berkata, latihan ini adalah amat baik bagi memastikan kes kecemasan dapat ditangani dengan baik.

Katanya, latihan ini adalah satu cara melatih kakitangan agensi di daerah ini untuk bertindak dengan sebaiknya bila berlaku kebakaran.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|