Bapa dan anak terima skrol ijazah serentak

Bapa dan anak terima skrol ijazah serentak

Kota Kinabalu: Majlis Konvokesyen Universiti Malaysia Sabah (UMS) ke-22 akan menjadi kenangan terindah buat bapa dan anak perempuannya apabila kedua-dua mereka hadir menerima skrol ijazah masing-masing.

Graduan Doktor Falsafah, Mohd Nazmil Rumpau Abdullah, 55, berkata, kejayaan bersama itu bukanlah perkara yang dirancang.

Mohd Nazmil (kiri) bersama anaknya Shaffiera Mohd Nazmil (kanan).

Namun katanya, mereka sekeluarga teruja sebaik dimaklumkan mereka bakal bergraduasi pada majlis yang sama.

“Saya adalah graduan Doktor Falsafah dan anak saya pula adalah graduan ijazah sarjana muda kerja sosial.

“Kami sekeluarga amat teruja sebaik menerima makluman kami bakal menerima skrol pada majlis sama,” katanya ketika ditemui, hari ini.

Mohd Nazmil berkata, dia yang bekerja sebagai Timbalan Pegawai Pendidikan Daerah (PPD) Tenom terpaksa membahagikan masa untuk belajar dan bekerja.

Namun katanya, dedikasi dalam meneruskan cabaran pengajian itu adalah bagi memberikan inspirasi kepada orang sekeliling terutamanya keluarga dan anak murid menambahkan lagi semangatnya untuk menghabiskan pengajian selama tujuh tahun berkenaan.

“Orang sekeliling melihat kita sebagai sumber inspirasi, jadi saya sanggup harungi cabaran dalam menghabiskan pengajian ini,” katanya.

Sementara itu, anaknya Shaffiera Mohd Nazmil berkata, antara cabaran dirinya adalah terpaksa menempuh pengajian sepanjang tempoh pandemik Covid-19.

Katanya, dia terpaksa mengambil lebih masa belajar di rumah dan itu juga memberinya peluang untuk merujuk ataj bertanya sebarang persoalan kepada bapanya.

“InsyaAllah, mungkin sebab nampak bapa saya melanjutkan pengajian, saya juga akan ikut jejak langkahnya.

“Semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) saya lebih banyak masa di rumah dengan bapa, jadi lebih mudah untuk meminta bantuan untuk menyemak atau memperbetulkan segala tugasan yang diberikan,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|