Laporan awal isu PATI diserah kepada Kabinet bulan depan

Laporan awal isu PATI diserah kepada Kabinet bulan depan

Kota Kinabalu: Timbalan Ketua Menteri, Datuk Dr Jeffrey Kitingan, berkata laporan awal isu pekerja asing dan warga asing tanpa dokumen di Sabah akan diserahkan kepada Kabinet negeri bulan depan.

Beliau yang mengetuai jawatankuasa khas berkaitan isu itu, berkata laporan berkenaan merangkumi cadangan penyelesaian terhadap masalah pendatang asing tanpa izin (PATI) di Sabah.

Katanya, setakat ini jawatankuasa berkenaan sudah mengadakan pertemuan dengan pemain industri dan agensi kerajaan yang berkaitan serta melengkapkan kira-kira 60 peratus laporan.

“Dalam tempoh beberapa minggu akan datang, kita akan mendapatkan pandangan daripada parti politik termasuk di pihak pembangkang bagi memastikan laporan yang inklusif, tepat dan seimbang,” katanya dalam satu kenyataan, di sini.

Jeffrey sebelum ini menetapkan tempoh tiga bulan bermula pertengahan Februari lalu untuk melengkapkan laporan mengenai isu berkenaan sebelum dibentangkan kepada jemaah Kabinet Sabah.

Beliau yang juga Presiden Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) percaya penyelesaian akhir terhadap masalah itu seharusnya datang daripada rakyat Sabah dan pemimpin tempatan, berbanding kerajaan persekutuan.

“Sebahagiannya, kerajaan persekutuan patut dipersalahkan atas krisis ini dan saya yakin cadangan mereka untuk mengeluarkan kad pengenalan kepada PATI dan warga asing akan memburukkan lagi masalah ini berbanding menyelesaikannya.

“Mereka tidak sedar kesannya ke atas demografi kita yang berubah secara drastik akibat kemasukan PATI. Sejak itu, apa saja yang kerajaan persekutuan cadangkan akan dipandang serong dan tidak diyakini rakyat Sabah,” katanya.

Ahli Parlimen Keningau itu berkata, selepas laporan berkenaan diterima oleh Kabinet negeri, kerajaan Sabah akan menyerahkan cadangan kepada kerajaan Pusat jika ada keperluan dan melaksanakan penyelesaian yang terbaik.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|