Hajiji terima kunjungan Duta Thailand, pelabur SK Nexilis

Kota Kinabalu: Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, semalam menerima kunjungan hormat Duta Besar Thailand ke Malaysia, Chainarong Keratiyutwong di pejabatnya di Menara Kinabalu.

Ia adalah kunjungan pertama Chainarong ke Sabah.

Hajiji menerima kunjungan hormat Duta Besar Thailand ke Malaysia, Chainarong Keratiyutwong.

Turut hadir pada pertemuan itu ialah Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Safar Untong.

Sementara itu, Hajiji turut menerima kunjungan pengurusan atasan syarikat SK Nexilis dari Korea Selatan bersama Timbalan Ketua Menteri yang Menteri Pembangunan Perindustrian, Datuk Dr Joachim Gunsalam.

Rombongan SK Nexilis terdiri daripada Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) SKC Co Ltd, Park Woncheol; CEO SK Nexilis Co Ltd, Yi Jaehong dan CEO SK Nexilis (Malaysia) Sdn Bhd, Shin Dong Hwan.

Hajiji menerima kunjungan pengurusan SK Nexilis dari Korea Selatan yang diiringi Dr Joachim.

SK Nexilis adalah syarikat pengeluar kerajang tembaga untuk bateri kenderaan eletrik (EV) yang melabur sebanyak RM4.2 bilion untuk membina kilang pengeluaran pertama di luar negaranya di Taman Perindustrian Kota Kinabalu (KKIP).

Kilang kerajang tembaga itu kini sedang dalam pembinaan di kawasan seluas 100 ekar dan dijangka siap akhir tahun depan.

Pelaburan berkenaan disasar memberi peluang pekerjaan kepada anak tempatan Sabah dengan 80 peratus daripada 400 peluang pekerjaan yang akan diwujudkan bakal diisianak-anak tempatan, termasuk golongan profesional.

Ketika lawatan dan tinjauan di tapak pembinaan kilang itu di KKIP pada 17 Mac lalu, Hajiji berkata SK Nexilis adalah antara projek inisiatif pelaburan Sabah Maju Jaya (SMJ) yang mula menampakkan hasil di bawah Kementerian Pembangunan Perindustrian.

“Pelaburan SK Nexilis akan memberi impak yang positif kepada sosio ekonomi Sabah khususnya dalam menyediakan peluang pekerjaan kepada penduduk tempatan, logistik dan rantaian yang berkaitan,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|