Langgar Ordinan Perkapalan Saudagar, bot tunda ditahan

Langgar Ordinan Perkapalan Saudagar, bot tunda ditahan

Labuan: Sebuah bot tunda ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia), di Perairan Pulau Burung, di sini, selepas didapati melanggar Ordinan Perkapalan Saudagar (MSO) 1952, semalam.

Pengarah Zon Maritim Labuan, Kepten Maritim Nudin Jusoh berkata, kapal berkenaan berjaya dikesan bot peronda Maritim Malaysia yang sedang menjalankan rondaan Op Sejahtera dan Op Khas Kuda Laut, di kawasan perairan berkenaan.

Bot tunda yang ditahan Maritim Malaysia di Perairan Pulau Burung, Labuan.

Katanya, pemeriksaan awal mendapati, bot tunda berkenaan dikendalikan tujuh kru termasuk kepten membabitkan warganegara Indonesia berusia lingkungan 25 hingga 50 tahun.

“Bot tunda berkenaan kemudiannya ditahan berikutan kegagalan operator mengemukakan sebarang dokumen berkaitan semasa diperiksa.

“Antara kesalahan yang dikesan adalah seperti tiada nama master di belakang Buku Certificate of Malaysia Registry dan gagal mematuhi keanggotaan seperti dalam syarat lesen (Domestic Shipping License),” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.

Menurutnya, kes disiasat mengikut Ordinan Perkapalan Saudagar (MS0)1952 kerana gagal mengemukakan dan mematuhi sebarang dokumen.

Katanya, bot tunda berkenaan bersama kru terus ditahan dan dibawa balik ke jeti Zon Maritim Labuan untuk tindakan selanjutnya.

Sehubungan itu, Nudin berkata, Maritim Malaysia tidak akan berkompromi dengan mana -mana pihak dan akan mengambil tindakan undang-undang terhadap sebarang aktiviti atau salahlaku jenayah di laut.

“Orang ramai juga boleh membantu menyalurkan maklumat dengan menghubungi Pusat Operasi Zon Maritim Labuan di talian 087- 453777 atau MERS 999 yang beroperasi 24 jam,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|