Hajiji umum sumbangan RM150,000 kepada tiga Majlis Pelajar IPT

Hajiji umum sumbangan RM150,000 kepada tiga Majlis Pelajar IPT

Kota Kinabalu: Tiga Majlis Pelajar Institut Pengajian Tinggi (IPT) menerima khabar gembira apabila Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor mengumumkan sumbangan RM50,000 kepada setiap Majlis Pelajar untuk membantu mereka dalam aktiviti pada masa akan datang.

Hajiji membuat pengumuman itu di akhir pertemuan bersama pemimpin Majlis Pelajar Universiti Malaysia Sabah (UMS), Universiti Teknologi MARA (UiTM) Kampus Kota Kinabalu dan pelajar Universiti Malaya Sabah (Permasa) di Menara Kinabalu, semalam.

Hajiji pada pertemuan bersama pemimpin Majlis Pelajar UMS, UiTM Kampus Kota Kinabalu dan pelajar Universiti Malaya Sabah (Permasa) di Menara Kinabalu.

Sambil menzahirkan rasa gembira dapat duduk, berinteraksi dan bertukar pandangan bersama wakil pelajar IPT di Sabah, beliau berkata kerajaan negeri di bawah pimpinannya komited untuk mendengar idea dan pendapat golongan belia seperti wakil pelajar.

Hajiji turut menjawab beberapa isu yang dibangkitkan oleh presiden majlis pelajar seperti masalah bekalan air, cadangan program Rumah Siswa SMJ bagi membantu pelajar yang menghadapi masalah penginapan, isu keselamatan serta tambang penerbangan yang tinggi.

Beliau memberi jaminan bahawa kerajaan negeri akan meneliti semua isu untuk manfaat pelajar, sambil menambah golongan belia, khususnya di IPT merupakan modal insan yang berharga untuk negeri ini maju selain membantu merealisasikan pelan pembangunan Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ).

“Saya berharap kepimpinan pelajar universiti Sabah akan bekerjasama dengan Kerajaan Negeri dalam memastikan kejayaan Hala Tuju SMJ.

“Justeru, Kerajaan Negeri sedang berusaha sedaya upaya untuk membantu pelajar mendapat yang terbaik daripada pendidikan melalui pelbagai inisiatif dan program.

“Seperti bantuan tunai ‘one-off’ untuk pendaftaran IPT di mana pelajar yang layak mengikuti pengajian ijazah akan mendapat RM2,000 dan RM1,500 untuk mereka yang mengambil diploma,” katanya.

Mengetuai wakil pelajar UMS ialah Eliezer Nevall Anthony, manakala UiTM diwakili oleh Shahirul Azri Aman Shah dan Permasa oleh Mohd Amirul Adanan.

Mesyuarat itu dikoordinasikan oleh Institut Kerjasama Kerajaan dan Rakyat (Ikrar) Jabatan Ketua Menteri.

Terdahulu, Hajiji turut mengadakan pertemuan dengan sayap pelajar atau Friends of Gabungan Rakyat Sabah (GRS) yang diketuai oleh Bayu Saputra Rizal.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|