Laluan sementara dibina hubungkan jambatan runtuh di Kampung Berhala Darat

Laluan sementara dibina hubungkan jambatan runtuh di Kampung Berhala Darat

Sandakan: Satu laluan sementara akan dibina menghubungkan Jambatan 10 di Kampung Berhala Darat di sini yang runtuh pada petang Jumaat lalu.

Difahamkan, Majlis Perbandaran Sandakan (MPS) akan memberikan peruntukan kecemasan untuk membina laluan sementara itu.

Ia susulan tinjauan Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Bung Moktar Radin selaku Menteri Kerja Raya negeri di lokasi jambatan runtuh terbabit bersama Presiden MPS, Benedict Asmat, hari ini.

Turut serta ialah Timbalan Presiden 1 MPS, Faridah Giau; Timbalan Presiden 2 MPS, Harun Ariffin dan Pemimpin Pembangunan Masyarakat (PPM) Tanjung Papat, Shaiful Bahari Muin.

Jambatan runtuh berlaku di antara rumah Nombor 163 dan rumah Nombor 164 pada Jumaat lalu dengan panjang kira-kira 100 kaki.

PPM Tanjung Papat juga sudah meminta Senarai Kuantiti (BQ) daripada Jurutera MPS dan meminta anggaran untuk membina jambatan kekal sepanjang 150 kaki sebelum dimajukan kepada Kementerian Kewangan negeri dan Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB).

Jumaat lalu, PPM Tanjung Papat, Shaiful Bahari Muin bergegas ke lokasi kejadian setelah menerima laporan penduduk untuk menilai tahap kerosakan dan memastikan pembaikan dapat dilaksanakan segera.

Tinjauan pihaknya mendapati kejadian itu turut menyebabkan tiang elektrik dan paip air patah, manakala pondok tempat penyimpanan bot roboh sekali gus menimbulkan kesulitan kepada penduduk yang tinggal di bahagian laut untuk melalui jambatan.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|