KHKS rangkul kejuaraan badminton Liga Jemputan Olympia 2022

Kota Kinabalu: Pasukan badminton KHKS dinobatkan sebagai juara Kejohanan Badminton Berpasukan Liga Jemputan Olympia Sabah selepas berjaya mengutip mata tertinggi dalam kejohanan yang berlangsung lebih sebulan sejak April lalu.

Naib juara dimenangi oleh Pasukan Amelia yang berjaya mengutip 46 mata manakala tempat ketiga pula disandang oleh pasukan Mee Ngar dengan 43 mata.

Dalam perlawanan terakhir malam tadi yang diadakan di Dewan Olympia, di sini, pasukan KHKS meneruskan kecemerlangan apabila menewaskan pasukan Mee Ngar dengan catatan mata 8-2.

Manakala, bagi naib juara, pasukan Amelia pula berjaya mengikat tempat kedua dengan menewaskan pasukan IJP BC dengan kemenangan bergaya 10-0.

Jacko Pan

Penganjur kejohanan, Jacko Pan berkata, penganjuran kejohanan yang diadakan secara liga itu adalah yang pertama diadakan di daerah ini.

Katanya, pertandingan seumpama itu diharap akan dapat menjadi platform terutamanya kepada pemain muda meneruskan kerjaya dalam sukan berkenaan ke peringkat yang lebih tinggi.

“Di sebalik penganjuran kejohanan seperti ini, kita juga berharap ia akan menjadi medium untuk kita mencari jawatankuasa atau ‘orang kuat’ dalam menjayakan pelbagai kejohanan akan datang.

“Malah, ia tidak terhenti di situ, kita juga berharap akan ada pihak awam yang sudi menderma atau ringan tangan menghulurkan bantuan kewangan dalam usaha memajukan sukan badminton di Sabah,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menyampaikan hadiah kejohanan di Dewan Badminton Olympia, di sini, malam tadi.

Jacko berkata, menerusi penganjuran kejohanan seperti itu, pihaknya berharap ia akan menjadi platform dalam melahirkan lebih ramai pemain berkualiti bukan saja untuk negeri tetapi juga mungkin untuk negara di masa akan datang.

Selain itu katanya, ia juga antara usaha mewujudkan masyarakat sihat berikutan kebanyakan peserta yang menyertai pertandingan ini terdiri daripada pelbagai lapisan masyarakat.

“Seperti kita dapat lihat, antara peserta yang mengikut pertandingan ini adalah doktor, jurutera, akauntan, pekerja di sektor kerajaan dan swasta serta pelbagai lagi karier profesional.

“Saya berharap, semua pihak memberi kerjasama dalam usaha menganjurkan lebih banyak kejohanan seperti ini bagi memberi ruang kepada pemain mempamerkan kebolehan masing-masing.

“Ia jelas adalah salah satu dorongan dalam usaha untuk memajukan lagi sukan badminton di negeri dan negara ini secara amnya,” katanya.

Jacko berkata, pihaknya juga merancang untuk menganjurkan satu lagi kejohanan berpasukan lebih besar menjelang Ogos depan.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|