Kurangkan birokrasi bantuan kebajikan – Raime

Kurangkan birokrasi bantuan kebajikan – Raime

Tenom: Kerenah birokrasi masih menjadi antara punca yang menjejaskan kelancaran penyaluran bantuan kebajikan orang tua terutama golongan uzur yang sering dialami penerimanya termasuk di daerah ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dilantik, Datuk Raime Unggi, berkata masalah itu perlu diatasi bagi memastikan golongan yang bergantung kepada bantuan berkenaan tidak berdepan kesulitan.

Raime ketika merasmikan Program Generasi Merdeka di Rumah Kebudayaan Kampung Bakuku, Kemabong.

“Selain kelewatan pembayaran bantuan dan masalah teknikal membabitkan prosedur hingga mengganggu pemindahan ke akaun penerima, ia juga disebabkan oleh masalah birokrasi,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Program Generasi Merdeka di Rumah Kebudayaan Kampung Bakuku, Kemabong, di sini.

Sementara itu, Raime yang juga Ketua Penerangan UMNO Sabah, turut mengingatkan mengenai kes penderaan kanak-kanak yang kerap dilaporkan kebelakangan ini termasuk tular di media sosial.

Katanya, bagi menangani dan mengelak kes itu daripada berleluasa, khususnya di luar bandar, Pasukan Perlindungan Kanak-Kanak dan Pasukan Kebajikan Kanak-Kanak Daerah Tenom digesa supaya memandang serius isu berkenaan.

“Saya sentiasa menyokong dan membantu agar program ini berterusan dan aktif untuk memberi kesederan kepada penduduk kampung terutamanya di kawasan luar bandar agar masalah ini dapat ditangani secara bersama.

“Antara tujuan perlindungan kanak-kanak adalah untuk membantu mencegah kes-kes penganiayaan dan pengabaian kanak-kanak,” katanya.

Dalam hal lain, Raime yang juga bekas Ahli Parlimen Tenom, berkata pembinaan jalan raya dari Kuala Tomani ke Ulu Tomani, di sini adalah hasil perancangan kerajaan Barisan Nasional (BN).

Katanya isu infrastruktur yang dialami penduduk kawasan berkenaan sering diketengahkannya sejak 2008 ketika menjadi Ahli Parlimen Tenom pada masa itu.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|