Jelajah GRS di Tawau 6 September depan

Jelajah GRS di Tawau 6 September depan

Tawau: Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor yang juga Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dijadual menghadiri Program Jelajah GRS peringkat Parlimen Tawau yang akan diadakan pada 6 September depan.

Ketua Bahagian Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Tawau, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan, berkata pimpinan komponen GRS Parlimen Tawau sudah membentuk jawatankuasa untuk program itu.

“Saya telah diamanahkan oleh kepimpinan GRS untuk mengatur dan menyelaras satu mesyuarat bagi menjayakan program jelajah itu nanti.

“Semua pemimpin dan wakil daripada BERSATU, Parti Bersatu Sabah (PBS), Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) dan Parti Maju Sabah (SAPP) terlibat membentuk jawatankuasa program berkenaan,” katanya.

Beliau yang juga Pembantu Menteri Kewangan Sabah, berkata demikian selepas mempengerusikan mesyuarat berkenaan, di sini, hari ini.

Nizam yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Apas berharap semua ahli komponen GRS hadir beramai-ramai untuk mendengar amanat yang akan disampaikan pemimpin GRS termasuk Hajiji.

“Kita menjangkakan kehadiran dalam program itu seramai 5,000 orang dan ia diharapkan mendapat sambutan menggalakkan daripada semua ahli parti komponen GRS,” katanya.

Dalam pada itu, katanya, setakat ini, belum ada perbincangan mengenai calon kerusi Parlimen Tawau yang akan dipilih pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) nanti.

“Semua parti komponen sepakat, bahawa sesiapa sahaja yang dipilih untuk mewakili GRS pada PRU-15 nanti, kita akan pastikan kemenangan berpihak kepada calon GRS.

Jelasnya, tiada masalah mengenai hubungan dengan Barisan Nasional (BN) di peringkat negeri, malah katanya GRS dan BN masih bekerjasama untuk menjayakan hala tuju kerajaan negeri.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|