Kru bot nelayan hilang di laut

Kru bot nelayan hilang di laut

Labuan: Seorang kru bot nelayan dikhuatiri lemas dalam kejadian pada jarak 4.4 batu nautika dari Pulau Kuraman, di sini, petang tadi.

Dalam kejadian jam 5 petang itu, mangsa Diniela Rambie, 58, warga Indonesia bersama dua lagi kru melakukan kerja-kerja memotong pukat yang tersangkut pada kipas bot nelayan.

Seorang kru bot nelayan yang hilang ketika melakukan kerja memotong pukat yang tersangkut pada kipas bot berkenaan.

Bagaimanapun mangsa tidak timbul selepas kerja-kerja berkenaan selesai.

Pengarah Zon Maritim Labuan, Kepten Maritim Nudin Jusoh berkata, sebaik menerima maklumat berkenaan kejadian itu, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) mengaktifkan operasi Carilamat di kawasan berkenaan.

Katanya, bot ronda Maritim Malaysia diatur gerak ke lokasi kejadian untuk melakukan pencarian awal.

“Sebanyak empat aset dikerahkan dalam usaha pencarian bagi hari ini membabitkan aset Maritim Malaysia, Pasukan Polis Marin (PPM) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dan Jabatan Perikanan.

“Pencarian dilakukan namun mangsa masih belum ditemui dan tiada petanda positif,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Menurutnya, operasi Carilamat ditangguh jam 6.30 petang dan akan disambung semula esok.

“Komuniti maritim dinasihatkan supaya sentiasa menitikberatkan aspek keselamatan ketika berada di laut.

“Sebarang kecemasan boleh disalurkan ke Pusat Operasi Zon Maritim Labuan di talian 087-427999 atau melalui talian kecemasan 999,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|