KPM ambil berat isu keselamatan murid

Kota Kinabalu: Kementerian Pendidikan (KPM) memandang berat isu yang membabitkan keselamatan murid dan pelajar di semua sekolah selain bekerjasama dengan agensi lain dalam memastikan aspek berkenaan tidak diabaikan.

Timbalan Menteri Pendidikan, Datuk Mohamad Alamin, berkata walaupun perkara itu di luar kawasan sekolah atau institusi milik kementerian berkenaan, pihaknya tetap memberikan perhatian yang sewajarnya.

Timbalan Menteri Pendidikan, Datuk Mohamad Alamin

“KPM memandang berat mengenai keselamatan murid dan pelajar di semua sekolah dan akan terus memantau serta bekerjasama dengan agensi bertanggungjawab,” katanya dalam satu kenyataan, di sini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas isu tular mengenai murid sekolah di Kampung Nangkawangan, Nabawan yang terpaksa menaiki rakit atau bergayut pada kabel ‘zip line’ untuk menyeberang sungai selepas jambatan gantung di kampung itu musnah akibat banjir bulan lalu.

Mengulas lanjut mengenai isu itu, Mohamad berkata jambatan gantung dihanyutkan banjir yang menjadi laluan utama murid ke sekolah adalah jambatan awam dan bukan dalam kawasan sekolah.

“Alat (zip line) yang dibuat dan dinaiki budak-budak tu sebenarnya untuk menghantar barang orang kampung tetapi macam mana mereka tertarik untuk naik benda tu kita tidak tahu.

“Apabila kena rakam ianya menjadi isu di luar kawalan pula. Dimaklumkan ada juga jalan alternatif untuk orang kampung dan pelajar sekolah gunakan untum menyeberang sungai tapi memang jauh sikit,” katanya.

Katanya, beliau juga difahamkan Ahli Parlimen Pensiangan, Datuk Arthur Joseph Kurup sudah mendapat kelulusan untuk membina jambatan gantung baharu dan kini hanya menunggu pelaksanaan.

Sementara menunggu jambatan itu siap, katanya kerajaan akan membekalkan beberapa bot untuk kegunaan penduduk kampung dan murid sekolah menyeberang sungai.

“Sebenarnya isu ini tidak kena mengena dengan KPM sebab infrastruktur itu adalah infrastruktur awam bukan di kawasan sekolah.

“Tapi apabila kena viral video budak-budak sekolah seolah-olah ia isu KPM sedangkan ianya adalah di bawah tanggungjawab agensi lain. Difahamkan pejabat daerah dan ICU sedang menangani isu ini,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|