Kota Kinabalu: Tiga dewan perniagaan dan persatuan pedagang di negeri ini menyatakan harapan agar diberi peluang untuk bekerjasama dengan kerajaan negeri bagi membantu membangunkan ekonomi Sabah.
Yang Dipertua Persatuan Pedagang Pengusaha Melayu Malaysia (PERDASAMA) Sabah, Datuk Junaidi Abdul Rahman berkata, peluang yang ada termasuk pelaburan dari luar negara melalui Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) harus diberi kepada ahli dewan perniagaan dan persatuan pedagang terbabit.

“Kadang-kadang kami terlepas pandang perkara seperti ini, jadi tadi kita ada syorkan kepada Ketua Menteri untuk duduk sebagai satu lembaga pelaburan Sabah supaya kami dapat sertai dan dapat maklumat awal dan seterusnya kami boleh edarkan kepada ahli-ahli.
“Selain itu, dari segi dana kerajaan yang selalu diperoleh dari Pusat dan negeri, kalau kami dapat maklumat awal jadi kami sama-sama boleh membantu kerajaan bagaimana untuk membangunkan negeri ini,” katanya kepada media pada Majlis Berbuka Puasa Bersama Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), di sini, semalam.

Majlis itu dianjurkan oleh PERDASAMA, Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM Sabah) dan Dewan Perdagangan dan Industri Asean (ACCI Sabah).
Katanya lagi, pihaknya sedia untuk bekerjasama dengan kerajaan negeri untuk usaha ke arah membantu membangunkan ekonomi Sabah.
“Kami sedia bekerjasama, diibaratkan kita ini sebagai aur dan tebing sama-sama membangunkan Sabah,” katanya.
Sementara itu, diminta mengulas berhubung isu pelaksanaan gaji minimum, pihaknya akan akur dengan ketetapan kerajaan.
“Kami sebagai Dewan Perniagaan jika kerajaan tetapkan perkara itu, kami akur kepada kerajaan punya arahan.
“Sebagai peniaga, kita kena akur apa yang patut dilakukan,” katanya.
Seramai 38 anak yatim dari rumah kebajikan diraikan dengan sumbangan daripada ketiga-tiga dewan perniagaan berkenaan sempena majlis itu.
-Deasoka