KPDNHEP Tawau rekod rampas minyak masak paket bernilai RM105,047

KPDNHEP Tawau rekod rampas minyak masak paket bernilai RM105,047

Tawau: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) sudah merekodkan kes penyelewengan minyak masak paket bersubsidi bernilai RM105,047, sepanjang enam bulan pertama tahun ini.

Ketua Pegawai Penguatkuasa KPDNHEP Tawau, Sam Aminudin berkata, jumlah itu adalah hasil kejayaan operasi yang dijalankan pihaknya bermula awal tahun sehingga 9 Jun lalu.

Ketua Pegawai Penguatkuasa KPDNHEP Tawau, Sam Aminudin

Katanya, hasil risikan KPDNHEP Tawau mendapati modus operandi penyelewengan barang kawalan itu adalah membeli mengikut kapasiti pengguna.

“Kita dapati pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab itu membeli secara kecil-kecilan, sebelum dikumpulkan di dalam satu tempat.

“Sebaik jumlah dikumpulkan mencapai sasaran, apabila mereka akan terus melaksanakan aktiviti membawa barang kawalan berkenaan ke negara jiran atau sebagainya,”katanya ketika ditemui di pejabat KPDNHEP Tawau, di sini, hari ini.

Sam berkata, dari segi aduan pula, pihaknya sudah menerima sebanyak 48 aduan bagi tempoh sama membabitkan tujuh barang kawalan.

“Antara aduan yang dilaporkan itu adalah berkaitan dengan barang-barang kawalan yang dijual mahal dan susah diperoleh di premis perniagaan.

“Bagaimanapun, setakat ini, daerah Tawau tidak mempunyai isu kekurangan bekalan minyak masak paket kerana jumlah kuota diperolehi adalah sebanyak 1,154 metrik tan setiap bulan,”
Katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.

Sam berkata, setakat ini, terdapat 10 syarikat pembungkusan minyak masak di Tawau yang membekalkan minyak masak paket bagi tempoh sebulan.

“Selain pasaran Tawau, minyak masak paket ini turut diedarkan di daerah sekitar antaranya Kunak dan Semporna,” katanya.

Tambah Sam lagi, KPDNHEP Tawau masih mengehadkan setiap keluarga hanya dibenarkan membeli dua kilogram minyak masak paket bagi tujuan kawalan dan mengelak berlakunya pembelian panik.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|