Helikopter TUDM bantu hantar barang ke Kampung Pangaraan, Nabawan

Helikopter TUDM bantu hantar barang ke Kampung Pangaraan, Nabawan

Keningau: Sejak tular di media sosial beberapa bulan lalu berikutan masalah jalan perhubungan dan jambatan rosak akibat banjir, usaha membantu penduduk dan kemudahan untuk sekolah di Kampung Pangaraan, Nabawan, terus mendapat perhatian Ahli Parlimen Pensiangan, Datuk Arthur Joseph Kurup.

Semalam, dua helikopter milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) diatur gerak bagi membantu membawa bekalan makanan untuk asrama sekolah dan penduduk di kampung berkenaan yang terletak Mukim Tatalaan.

Arthur (kiri) bersama pemimpin setempat meninjau kerja pembaikan jalan yang rosak akibat banjir di Kampung Pangaraan, Nabawan.

Dua helikopter jenis EC 725 AP dari No 5 Skuadron itu membawa barang keperluan dan barang asas makanan yang dianggarkan seberat 1.35 tan.

Arthur yang juga Timbalan Menteri Kerja Raya memaklumkan jalan perhubungan ke kampung itu yang sepanjang 45 kilometer terputus akibat banjir dan kini hampir siap dibaiki serta sudah boleh dilalui kenderaan mulai semalam.

Katanya, kerja kecemasan telah giat dijalankan sejak beberapa minggu lalu dan kenderaan dari Keningau sudah boleh menggunakan jalan itu.

“Namun kerja-kerja pembinaan semula lima jambatan yang hanyut ketika banjir teruk yang lalu akan mengambil sedikit lagi masa.

“Jadi, saya merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein selaku Menteri Kanan Pertahanan dan TUDM kerana telah membantu menyediakan perkhidmatan dua helikopter TUDM bagi membawa bekalan makanan ke Kampung Pangaraan,” katanya ketika melaksanakan misi menghantar barangan di Kampung Pangaraan, semalam.

Arthur berkata, bantuan yang dihulurkan TUDM itu amat dihargai kerana perkhidmatan itu turut memudahkan urusannya untuk turun ke lokasi bagi memantau status pelaksanaan kerja-kerja pembaikan di kawasan yang terjejas.

“Ini mencerminkan keprihatinan kerajaan dan agensi di bawahnya bagi memastikan kerja pembaikan dapat dilaksanakan dengan secepat mungkin demi perhubungan dan keselesaan penduduk kampung berkenaan,” katanya.

Misi itu turut disertai oleh Pegawai Daerah Nabawan, Peter Jonu Moinjil dan Panglima Wilayah Udara 2, Mejar Jeneral Datuk Shamsudin Kassim TUDM.

Antara barang makanan yang dibawa termasuk beras, minyak masak, tepung, gula , susu, ayam, daging, ikan, sardin, biskut dan peralatan asas memasak serta pelbagai barangan dapur basah dan kering yang lain.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|