Kementerian Pengangkutan kaji had BDM baharu kenderaan komersial di Sabah

Kementerian Pengangkutan kaji had BDM baharu kenderaan komersial di Sabah

Sandakan: Kementerian Pengangkutan akan mengkaji perbezaan had Berat Dengan Muatan (BDM) kenderaan komersial di Sabah dengan Semenanjung yang ketika ini dilihat tidak seimbang.

Menterinya, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong, berkata pihaknya sudah mengarahkan pengurusan tertinggi kementerian untuk melihat perkara itu secara mendalam dan membuat penyelarasan.

Beliau mengakui berlaku perbezaan BDM yang ketara di antara kenderaan komersial di Sabah dengan di Semenanjung yang mencecah antara 3,000 kilogram hingga 13,000 kilogram.

“Perkara ini sudah lama timbul dan saya telah mengarahkan bahagian pengurusan tertinggi Kementerian Pengangkutan untuk membuat kajian secara mendalam agar had BDM bagi kenderaan komersial di Semenanjung dan Sabah serta Sarawak dapat diselaraskan pada tahap yang berpatutan.

“Ini demi kepentingan Keluarga Malaysia khususnya pemain industri yang banyak menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara,” katanya selepas pertemuan dengan Ahli Jawatankuasa (AJK) Persatuan Pengangkutan Lori Sabah yang diketuai pengerusinya, Steven Chua Pui Ming, di sini, semalam.

Ka Siong mengadakan lawatan kerja ke Sandakan semalam sempena perasmian pembesaran Lapangan Terbang Sandakan.

Perbezaan had BDM kenderaan komersial adalah antara isu yang dibincangkan pada pertemuan dengan AJK persatuan berkenaan selain beberapa lagi perkara berkaitan kepentingan pengusaha kenderaan perdagangan di Sabah.

Hadir sama pada pertemuan itu ialah Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar) Kementerian Pengangkutan, Normah Osman dan Pengerusi Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP) Sabah, Datuk Chin Kim Hiung.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|