KPDNHEP Sabah tingkatkan pemantauan ke atas stesen minyak

Kota Kinabalu: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Sabah sentiasa menjalankan pemantauan terhadap stesen-stesen minyak khususnya di kawasan Pantai Timur di negeri ini.

Dalam kenyataan yang dikeluarkan KPDNHEP hari ini berkata, agensi berkenaan turut maklum akan situasi khususnya di daerah Semporna di mana kegiatan pembelian minyak petrol RON95 dan Diesel menggunakan gelen yang diangkut dengan kereta sorong.

Tular beberapa gambar yang menunjukkan pembelian petrol dan diesel menggunakan gelen dalam kuantiti yang banyak

Katanya, hasil pemantauan mendapati tiga faktor utama yang menyumbang kepada aktiviti pembelian minyak petrol dan diesel dalam gelen berkenaan.

“Faktor pertama adalah untuk kegunaan nelayan tempatan dan faktor kedua pula untuk kegunaan bot penambang yang beroperasi ke pulau-pulau sekitar daerah berkenaan.

“Faktor ketiga pula adalah untuk kegiatan bot pelancong bagi menjalankan aktiviti pelancongan berikutan pembukaan aktiviti perniagaan pelancongan pada masa kini,” katanya.

Menurutnya, semua pemilik bot-bot pelancongan berkenaan sudah mendapatkan kebenaran melalui Permit Khas yang dikeluarkan oleh KPDNHEP.

“Justeru itu, bagi mengelakkan berlakunya kesesakan di stesen-stesen minyak sekitar daerah ini, KPDNHEP Cawangan Semporna mengambil inisiatif dengan mengesyorkan kepada para nelayan, pemilik bot penambang serta bot pelancong terbabit untuk mengisi
minyak di sebuah stesen minyak berlesen.

“Stesen minyak berkenaan terletak di Kampung Selamat, di sini, memandangkan kedudukan stesen ini terletak di tepi laut,” katanya

Sementara itu, dalam kenyataan itu berkata, sepanjang tahun 2021, KPDNHEP Sabah melalui KPDNHEP Cawangan Semporna sudah merekodkan 10 kes mengikut Akta Kawalan
Bekalan 1961 dengan nilai rampasan RM1,294.50.

Katanya, manakala bermula Januari hingga Mei tahun ini, sebanyak lapan kes dihasilkan dengan nilai rampasan RM1,174.25.

“Di antara kesalahan-kesalahan yang diambil tindakan adalah kegagalan pihak pengusaha stesen minyak mengemaskinikan Buku Penyata Stok,” katanya.

Sehubungan itu, KPDNHEP berkata, pihaknya sudah menjalinkan kerjasama yang erat dengan beberapa agensi penguatkuasaan lain dalam usaha bersama untuk membanteras aktiviti penyelewengan barang kawalan.

Katanya, sepanjang tahun 2021, sebanyak 44 kes serahan dengan nilai rampasan berjumlah RM276,246.80 berkaitan barang kawalan dikendalikan KPDNHEP Cawangan Semporna.

“Manakala bagi tempoh lima bulan pertama tahun ini pula, sebanyak 16 kes serahan dengan nilai rampasan berjumlah RM1,128,913.75 direkodkan.

“Kes-kes serahan berkenaan kebanyakannya siterima daripada Pasukan Polis Marin, Pasukan Gerakan Am dan juga Angkatan Tentera,” katanya.

Kenyataan itu turut menegaskan, pemantauan secara statik di stesen-stesen minyak juga akan terus dijalankan oleh pegawai-pegawai KPDNHEP Cawangan Semporna bagi mempastikan bekalan minyak Petrol Ron 95 dan Diesel mencukupi untuk semua pengguna.

Selain itu katanya, semua pengusaha stesen minyak yang diperiksa di daerah Semporna juga diberi peringatan supaya sentiasa mematuhi syarat-syarat lesen di bawah Akta Kawalan Bekalan (AKB) 1961.

“Peringatan ini juga turut dipanjangkan kepada syarikat-syarikat minyak yang beroperasi khususnya di daerah Semporna supaya mematuhi segala undang-undang dan peraturan yang telah ditetapkan mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961.

“Mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961 (Akta 122), pengusaha stesen minyak yang disabit dengan kesalahan boleh didenda tidak lebih RM1 juta, manakala bagi kesalahan berikutnya tidak melebihi RM3 juta atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali.

“Bagi syarikat pulax jila sabit kesalahan boleh membawa hukuman denda tidak melebihi RM2 juta, manakala bagi kesalahan berikutnya tidak melebihi RM5 juta.

“Kementerian juga akan mengambil tindakan tegas dengan menggantung sementara lesen pengusaha stesen minyak yang terlibat sehingga siasatan selesai dijalankan,” katanya.

Terdahulu, tular beberapa gambar di salah sebuah stesen minyak di pekan Semporna yang menunjukkan situasi pembelian petrol dan diesel menggunakan gesel dalam kuantiti banyak.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|