Rakyat Malaysia masuk secara haram ke Indonesia, ditahan

Nunukan: Seorang wanita rakyat Malaysia ditahan, pihak berkuasa Indonesia, di Pelabuhan Tunon Taka, di sini, selepas didapati masuk ke negara jiran berkenaan tanpa izin, semalam.

Memetik laporan media Indonesia Kaltara.Prokal.co @ Radar Tarakan, wanita berusia 34 tahun itu ditahan ketika dalam perjalanan dari Parepare, Sulawesi Selatan.

Ketua Pejabat Imigresen Nunukan, Washington Saut Dompak berkata, pihaknya berjaya mengesan wanita terbabit menerusi pengesanan awal di pintu masuk.

Katanya, ia dilakukan bagi mengekang kegiatan Pekerja Migran Indonesia (PMI) tanpa izin.

“Wanita berasal dari Batu 6, Jalan Silam, Sapagaya, Lahad Datu, Sabah yang berjaya ditahan dalam operasi berkenaan.

“Imigresen Nunukan melakukan operasi rutin terhadap pelancong yang tiba dan berangkat di Pelabuhan Tunon Taka,” kata Washington kepada Radar Tarakan hari ini.

Beliau berkata, hasil pemeriksaan wanita terbabit didapati masuk ke Indonesia pada 14 Mei lalu menggunakan laluan haram.

“Wanita itu dipercayai menggunakan laluan hutan bakau di pantai Sebatik Indonesia- Malaysia, sebelum meneruskan perjalanan melalui Pelabuhan Bot Laju Bambangan dan menuju ke Jeti Tradisional Aji Putri, Nunukan.

“Setibanya di Nunukan, suspek yang ditemani suaminya yang juga warganegara Indonesia ke Parepare, Sulawesi Selatan,” katanya.

Washington berkata, pasangan berkenaan kemudiannya meneruskan perjalanan dengan menaiki kapal KM Queen Soya dengan destinasi terakhir di Kabupaten Bulukumba, Sulawesi Selatan.

“Pihak Imigresen Nunukan mendapat tahu suspek terdesak untuk masuk melalui saluran haram kerana perlu menemani suaminya yang sedang sakit dengan tujuan berubat secara tradisional di Bulukumba.

“Setelah berada di Bulukumba selama lebih kurang dua minggu, suspek kembali ke Nunukan melalui laluan yang sama.

“Semasa pemeriksaan dijalankan, suspek tidak dapat menunjukkan dokumen perjalanan yang sah dan hanya menunjukkan pasport antarabangsa miliknya kepada pegawai berkenaan.

“Bagaimanapun pasport itu tidak disertakan dengan bukti cop keluar Malaysia dan cop masuk Indonesia,” katanya.

Washington berkata, wanita terbabit akan didakwa mengikut Pasal 75 ayat (1) Undang-Undang Nomor 6/2011 tentang Keimigrasian.

Katanya, pihaknya sentiasa memandang berat terhadap warga asing yang berada di wilayah Indonesia yang dikhuatiri melakukan kegiatan berbahaya.

“Tindakan perlu diambil sewajarnya bagi mengelakkan sebarang insiden membahayakan keselamatan dan ketenteraman awam atau tidak menghormati atau tidak mematuhi undang-undang dan peraturan.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|