Konsep Rumah Mesra SMJ dilancar September depan

Konsep Rumah Mesra SMJ dilancar September depan

Kota Kinabalu: Kerajaan negeri akan melancarkan konsep Rumah Mesra SMJ pada 29 September ini.

Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, berkata Rumah Mesra SMJ adalah inisiatif baharu di bawah teras modal insan dan kesejahteraan rakyat Hala Tuju Sabah Maju jaya (SMJ).

Katanya, perancangan kerajaan negeri adalah untuk membina sebanyak 1,500 unit Rumah Mesra SMJ dengan anggaran kos tahunan sebanyak RM125.6 juta meliputi semua 73 kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN).

Beliau berkata, pelancaran Model Rumah Mesra SMJ itu adalah bersempena dua tahun pemerintahan kerajaan Gabungan Rakyat Sabah-Barisan Nasional (GRS-BN).

“Kerja reka cipta dan konsep rumah itu kini sedang di peringkat akhir penilaian oleh Kementerian Pembangunan Luar Bandar Sabah.

“Pembinaan Rumah Mesra SMJ yang berkonsepkan Projek Perumahan Rumah Termiskin (PPRT) ini adalah untuk mereka yang tidak memiliki rumah di kalangan rakyat dalam kategori miskin,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Hajiji berkata, langkah itu sejajar keutamaan terhadap aspek kebajikan rakyat oleh kerajaan GRS-BN.

“Atas sebab itu, saya sering tegaskan bahawa setiap perancangan dan pelaksanaan dasar dan program kerajaan perlu berorientasikan kesejahteraan rakyat, dan golongan miskin tidak akan sesekali dipinggirkan,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|