Kemuka invois palsu bernilai RM800,000, tiga ditahan SPRM

Kemuka invois palsu bernilai RM800,000, tiga ditahan SPRM

Kota Kinabalu: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan tiga individu selepas dipercayai terbabit dalam mengemukakan invois palsu bernilai lebih RM800,000.

Invois tuntutan berkenaan dilaporkan diserahkan kepada pejabat di sebuah kementerian pada tahun 2019.

Menurut sumber, ketiga-tiga suspek ditahan di Pejabat SPRM Sabah kira-kira jam 10 pagi tadi selepas hadir memberi keterangan bagi membantu siasatan.

Katanya, mereka dipercayai mengemukakan invois palsu berkaitan tuntutan bayaran kos pengangkutan bagi projek untuk tempoh tiga bulan iaitu daripada September hingga November 2019.

Sementara itu, Pengarah SPRM Sabah, Datuk S. Karunanithy ketika dihubungi mengesahkan tangkapan berkenaan.

Katanya, kes itu disiasat mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan dan Seksyen 109 Kanun Keseksaan.

“Ketiga-tiga suspek berkenaan dijangka akan dituduh di Mahkamah Khas Rasuah dalam tempoh terdekat,” tegasnya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|