25,500 benih Musang King, Duri Hitam dikeluarkan tahun ini

25,500 benih Musang King, Duri Hitam dikeluarkan tahun ini

Kota Kinabalu: Kerajaan negeri melalui Jabatan Pertanian mengeluarkan sebanyak 21,500 anak benih durian Musang King dan 4,000 anak benih durian Duri Hitam untuk diedarkan kepada petani di seluruh negeri pada tahun ini.

Pembantu Menteri Pertanian dan Perikanan negeri, Datuk James Ratib, berkata anak benih terbabit dikeluarkan melalui Stesen Pertanian melalui program pengeluaran bahan tanaman, pengesahan ketulenan pokok induk dan bahan tanaman, perkhidmatan pengembangan, akreditasi ladang dan penyelidikan yang dilaksanakan Jabatan Pertanian.

Katanya, ketulenan bahan tanaman yang dikeluarkan disahkan melalui Program Skim Pengesahan Bahan Tanaman (SPBT).

“Selain Jabatan Pertanian, terdapat empat nurseri swasta turut menerima sijil SPBT dengan jumlah pokok induk sebanyak 482 pokok durian Musang King dan 62 pokok durian Duri Hitam sebagai sumber mata tunas dalam pembiakan.

“Nurseri ini berpotensi mengeluarkan sebanyak 125,000 anak benih durian Musang King dan Duri Hitam setahun,” katanya pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN), hari ini.

Beliau menjawab pertanyaan lisan Datuk Abdul Ghani Mohd Yassin (GRS-Nabawan) sama ada kerajaan negeri mempunyai cadangan membangunkan industri tanaman durian Musang King di negeri ini.

Mengulas lanjut, James berkata, tanaman durian Musang King adalah antara tanaman keutamaan dalam Pelan Pembangunan Sabah Maju Jaya (SMJ) 2021 – 2025.

Katanya, sepanjang tempoh Rancangan Malaysia Ke-12 (RMKe-12), Kementerian Pertanian dan Perikanan Sabah melalui Jabatan Pertanian Sabah akan membangunkan seluas 660 hektar atau 53,460 pokok tanaman durian premium iaitu Musang King dan Duri Hitam di 20 daerah termasuk Nabawan.

“Daripada jumlah itu, sasaran untuk Nabawan adalah seluas 20 hektar dengan penyertaan 20 orang pengusaha.

“Pembangunan tanaman durian ini dilaksanakan melalui Projek Pembangunan Tanaman Durian Premium yang melibatkan bantuan bernilai RM10,000 hingga RM25,000 per hektar.

“Bantuan ini adalah dalam bentuk pembersihan kawasan tanah, bahan tanaman (anak benih berkualiti) dan input pertanian (baja dan peralatan ladang).

“Sehingga 2021, terdapat seluas 2,053 hektar tanaman durian Musang King dibangun di Sabah yang mana 56 hektar adalah di Nabawan,” katanya.

James berkata, bagi memastikan pembangunan tanaman durian dilaksanakan mengikut Amalan Pertanian Baik (APB), seramai 660 orang peserta projek sedia ada diberi kursus dan latihan asas penanaman durian di Pusat Latihan Petani di Sandakan, Kota Marudu dan Tenom.

Khidmat nasihat berkaitan pengurusan tanaman durian juga, katanya diberikan oleh ejen pengembangan di 25 Pejabat Pertanian Daerah seluruh negeri.

“Bagi mengiktiraf ladang yang mengamalkan Amalan Pertanian Baik, pensijilan myGAP dan myOrganic dilaksanakan. Setakat 2021, sebanyak 24 ladang durian menerima sijil myGAP dan satu myOrganic.

“Bagi program penyelidikan, Jabatan Pertanian sedang melaksanakan pembiakbakaan tanaman Musang King untuk menghasilkan varieti baharu dan varieti rintang penyakit.

“Selain itu, penyelidikan dari segi pengurusan agronomi tanaman durian juga dilaksanakan dan diguna pakai,” katanya.

Beliau berkata, berdasarkan harga Musang King di ladang (farm gate price) pada kadar RM30 sekilogram, pendapatan kasar bagi sehektar (81 pokok) setahun Musang King mencapau sebanyak RM349,920 dengan pengurusan ladang yang optimum.

Jelasnya, pendapatan pengusaha durian dapat dipertingkatkan lagi melalui aktiviti hiliran seperti aiskrim durian, kek durian, dodol dan produk lain berasaskan durian.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|