Klien PUSPEN tekad berubah, ingin sambut Syawal bersama keluarga selepas pulih

Papar: Mengabaikan keluarga terutama ibu kerana menagih dadah antara penyesalan terbesar seorang klien di Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik (PUSPEN) Papar, di Kimanis.

Halim, 37, bertekad untuk berubah sepenuhnya dan bebas daripada najis dadah selepas dimasukkan ke dalam PUSPEN demi ibunya yang semakin dimamah usia.

Halim ketika ditemui di PUSPEN Papar di Kimanis.

“Dulu saya selalu abaikan ibu dan tidak membantu dia. Saya banyak habiskan masa dengan kawan-kawan dari tengah malam sehingga ke pagi.

“Saya selalu buat ibu menangis, memang sedih kalau diingat balik kerana ketika itu saya lalai dengan dadah,” katanya ketika ditemui di PUPEN Papar, di sini, baru-baru ini.

Ditanya bagaimana terjebak dengan dadah, Halim yang berasal dari Tawau berkata, ia bermula dengan menghisap rokok kemudian terpengaruh dengan rakan sebaya kerana ingin mencuba benda baharu.

“Sebelum ambil dadah, saya sudah pandai merokok pada usia 12 tahun dan ketika itu saya silap memilih kawan sehingga terjebak dengan dadah ketika berusia 15 tahun.

“Saya pernah dimasukkan ke penjara sebanyak dua kali atas kesalahan salah guna dadah dan pada 23 Mac tahun lalu saya sekali lagi ditahan atas kesalahan sama menerusi operasi yang dijalankan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK),” katanya.

Katanya lagi, walaupun sebelum ini dia pernah dipenjarakan tetapi keadaan di PUSPEN sangat berbeza dan banyak membantu untuk mereka pulih daripada ketagihan dadah.

“Beza penjara dengan di sini, kami banyak diterapkan dengan usaha pemulihan dan ada banyak program dilaksanakan untuk tujuan itu.

“Di PUSPEN ini, kami juga digalakkan belajar agama Islam, di sini ada aktiviti membaca Al-Quran terutama pada bulan Ramadan banyak aktiviti untuk mengimarahkan bulan yang mulia ini,” katanya.

Sehubungan itu, Halim berharap apabila keluar PUSPEN dia akan berubah sepenuhnya kerana cabaran yang sebenar adalah apabila di luar nanti.

“Pulih sebenar daripada najis dadah bukan di dalam sini tetapi di luar sana. Walaupun saya sudah bersedia untuk berjumpa dengan masyarakat di luar tetapi perlu mengelak daripada bertemu dengan rakan yang membawa semula kepada najis dadah.

“Namun saya merancang bawa apa saja yang saya pelajari di PUSPEN untuk memulihkan saya ketika berada di luar nanti dan tidak mahu kecewakan ibu lagi,” katanya.

Beliau dalam pada itu berharap dapat menyambut Hari Raya bersama keluarga selepas saja selesai menjalani rawatan di PUSPEN.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|