Demi pendidikan anak OKU, ibu bapa sanggup tempuh pelbagai cabaran

Sipitang: Walaupun berdepan dengan cabaran termasuk aspek keselamatan menjaga anak Orang Kurang Upaya (OKU) ketika sedang membonceng motosikal tetapi itu bukan penghalang seorang ibu berulang alik menghantar anaknya dengan menaiki motosikal ke Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) Sipitang, di sini.

Aslimi Mudain, 42, berkata, dia dan anaknya, Mohd Daniel Abdullah, 8, akan menempuh perjalanan sejauh hampir 20 kilometer dari Kampung Ulu Kuala Mengalong, Sindumin, ke PDK yang terletak di Sabah Forest Industry (SFI) bagi memastikan anaknya menerima pendidikan sewajarnya sama seperti anak orang lain.

Aslimi ketika ditemui selepas menerima sumbangan daripada Yusof di PDK Sipitang.

Katanya, anak bongsunya itu perlu dimasukkan ke dalam PDK selepas menyedari mempunyai masalah pembelajaran sejak kecil lagi.

“Anak saya tidak dapat bertutur dengan lancar berikutan masalah lemah pembelajaran (slow learner) dan saya sedari sejak dia berusia dua tahun.

“Jadi saya masukkan ke PDK ketika dia berusia enam tahun dan kini walaupun masih tidak dapat bertutur dengan baik namun dia sudah boleh memberi isyarat dan pandai menguruskan diri sendiri,” katanya ketika ditemui selepas menerima sumbangan daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sindumin, Datuk Dr Yusof Yacob, baru-baru ini.

Katanya lagi, sudah menjadi rutin mingguan untuk menghantar anaknya ke PDK dengan menaiki motosikal walaupun terpaksa menempuh pelbagai cabaran.

“Disebabkan keadaan anak saya begini, saya terpaksa membonceng motosikal dalam keadaan perlahan kerana bimbang anak saya terjatuh.

“Kadang-kadang kesabaran teruji dengan keadaan anak saya ini tetapi saya anggap ia sebagai cabaran,” katanya yang juga suri rumah sepenuh masa.

Sementara itu, seorang lagi ayah kepada anak OKU Yusrizam Mohd Yusof, 42, berkata, dia juga terpaksa menempuh perjalanan selama lebih setengah jam setiap hari untuk menghantar anaknya ke PDK Sipitang.

Bagaimanapun, Yusrizam tidak pernah mengeluh asalkan anaknya mendapat pendidikan sewajarnya di pusat berkenaan.

“Banyak juga perubahan yang kami dapat lihat selepas dimasukkan ke PDK ini. Dia kini sudah pandai berdikari dan menguruskan diri.

“Saya pula memang tahu ada PDK di sini dan membuat keputusan untuk menghantarnya ke sini supaya anak dapat belajar banyak perkara di dalam PDK ini,” katanya yang menetap di Kampung Lubok Weston, Beaufort.

Sementara itu, Yusof turut menyarankan ibu bapa yang mempunyai anak OKU supaya menghantarnya ke PDK untuk mendapat didikan yang sewajarnya.

“Ibu bapa yang ada anak OKU, jangan ‘simpan’ di rumah, saya tahu ada yang jauh, susah untuk hantar anak ke PDK tetapi ini cabarannya dan mereka juga ada hak untuk mendapat pendidikan,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|