Khabar angin ADUN WARISAN keluar parti tidak benar – Shafie

Khabar angin ADUN WARISAN keluar parti tidak benar – Shafie

Kota Kinabalu: Parti Warisan (WARISAN) mendakwa khabar angin mengenai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) parti itu yang dikatakan akan keluar parti adalah tidak benar dan ia sengaja ditimbulkan semula.

Menerusi kenyataan media hari ini, Presidennya, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, menyifatkan perkara itu sebagai percubaan berniat jahat pihak tertentu untuk melemah dan menjatuhkan WARISAN.

“Parti Warisan kekal utuh dan dakwaan kononnya ada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang melompat parti adalah tidak benar.

“Khabar angin dan cakap-cakap mengenai kononnya ada ADUN WARISAN yang mahu keluar parti ditimbulkan semula sebagai percubaan berniat jahat pihak tertentu untuk melemahkan dan menjatuhkan Warisan.

“Kesemua ADUN Warisan juga telah mengulangi kesetiaan tidak berbelah bahagi mereka kepada parti,” katanya selepas Mesyuarat Ahli Majlis Tertinggi (AMT) WARISAN, di sini, hari ini.

Beliau berkata, pada mesyuarat itu, AMT dan wakil rakyat WARISAN juga sebulat suara menyatakan sokongan kepada Kerajaan Perpaduan dan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri.

Sebelum ini, ADUN Darau, Azhar Matussin bersama enam lagi ADUN WARISAN dikatakan bakal meninggalkan parti itu dalam tempoh terdekat.

Azhar bagainamapun menafikan perkara itu dan menjelaskan tidak pernah menandatangani apa-apa dokumen Surat Akuan Bersumpah (SD) untuk bertukar parti.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|