Penduduk rayu kaji semula pembatalan PT Skim Peneroka Madai Baturong

Penduduk rayu kaji semula pembatalan PT Skim Peneroka Madai Baturong

Kunak: Penduduk Skim Peneroka Madai Baturong, di sini, merayu kepada pihak berkuasa untuk menilai semula Permohonan Tanah (PT) yang dibuat sejak sekian lama.

Kumpulan membabitkan lebih 100 penduduk itu mendakwa mereka sepatutnya diberikan kelulusan selaku peneroka terawal kawasan terbabit.

Sebahagian penduduk Skim Peneroka Madai Baturong, Kunak yang hadir di luar kawasan JTU Kunak untuk meminta penjelasan tetang pembatalan PT tanah mereka.

Difahamkan, kumpulan penduduk berkenaan yang sudah beberapa kali membuat permohonan itu kecewa apabila dimaklumkan permohonan mereka dibatalkan pada penghujung tahun lalu.

Jerry (kanan) menyampaikan surat kepada Smith (tiga dari kanan) berkaitan meminta penjelasan secara bertulis dari Pejabat Tanah PPHT Kunak untuk mengetahui punca permohonan peneroka-peneroka di Skim Peneroka Madai Baturong dibatalkan.

Bagaimanapun, sehingga kini pembatalan PT berkenaan dibuat tanpa sebarang alasan munasabah kepada mereka.

Goefle Joseph ketika ditemui pada pertemuan antara penduduk dan Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO) Sabah di Balai Raya Kampung Hulu Madai, hari ini.

Salah seorang penduduk, Norwana Mellong, 56, berkata, mereka menuntut pihak berkaitan supaya menarik semula pembatalan PT Skim Peneroka Madai Baturong dan memberikannya kepada penduduk yang sepatutnya.

Norwana Mellong ketika ditemui pada pertemuan antara penduduk dan Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO) Sabah di Balai Raya Kampung Hulu Madai, hari ini.

Katanya, dia dan suami sebelum ini bekerja keras untuk membuka serta membersihkan kawasan skim berkenaan yang asalnya adalah hutan sebelum dijadikan lokasi bercucuk tanam.

“Proses meneroka juga bukan mudah disebabkan kami perlu membersihkan hutan termasuk terpaksa membahayakan keselamatan diri kerana hutan pastinya ada hidupan liar yang berbahaya.

“Tetapi kami teruskan sahaja membangunkan tanah di kawasan itu sehingga mampu menanam pokok kelapa sawit,” katanya.

Dia berkata demikian ketika ditemui pada pertemuan antara penduduk dan Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO) Sabah di Balai Raya Kampung Hulu Madai, hari ini.

Norwana berkata, melihat kepada perjuangan penduduk selama ini, mereka pastinya sedih dengan tindakan pihak berwajib membatalkan Permohonan Tanah (PT) selepas lebih 20 tahun mengusahakan tanah berkenaan.

“Malahan saya sendiri sudah menghantar permohonan pertama pada tahun 1998 sebelum menghantar semula PT baharu bagi 2016.

“Namun kami dimaklumkan permohonan sama gagal pada penghujung tahun lalu,” katanya.

Seorang lagi peneroka, Goefle Joseph, 36, berkata, dia adalah antara penduduk yang kecewa dengan tindakan Jabatan Tanah yang melakukan pembatalan tanpa pemakluman kepada penduduk.

Katanya, dia selaku generasi kedua masih mengusahakan tanah berkenaan selepas bapanya selaku peneroka terawal membuka kawasan terbabit sejak tahun 1997.

“Saya sendiri menjadi saksi bapa meneroka tanah ini kerana ketika itu saya berumur 13 tahun dan turut sama membantu membersihkan kawasan berkenaan untuk bercucuk tanam.

“Sebagai anak atau individu yang turut sama membantu membuka kawasan itu, saya pastinya mahu terus mempertahankan hak kami selain hanya tanah inilah sumber pendapat kami sekeluarga,” katanya.

Dalam pada itu, Penyelaras MHO Sabah, Jerry Jaimeh menyatakan pihaknya hadir bagi mewakili penduduk untuk bertemu dengan pihak Penolong Pemugut Hasil Tanah (PPHT) Kunak.

“Hari ini kita sudah menghantar satu surat untuk meminta penjelasan secara bertulis dari Pejabat Tanah PPHT Kunak untuk mengetahui punca permohonan peneroka-peneroka di Skim Peneroka Madai Baturong dibatalkan.

“Selain itu, kita meminta agar satu temu jani diaturkan bersama MHO dan peguam bersama wakil penduduk agar dapat membuat perbincangan dengan Jabatan Tanah Kunak dalam usaha mencari jalan penyelesaian.

“Kita harap perkara ini mampu diselesaikan di sini dan tidak perlu dibawa ke peringkat lebih tinggi,” katanya.

Sementara itu, Penolong Juruukur PPHT Kunak, Smith Lewas mengesahkan sudah menerima surat daripada pihak MHO.

“Saya hanya menerima sahaja surat daripada MHO dan ia akan disampaikan kepada ketua PPHT.

“Hasil daripada kajian itu nanti kami akan hantar ke ibu pejabat Jabatan Tanah dan Ukur (JTU),” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|