Graduan memakai busana tradisi Murut curi tumpuan ramai

Graduan memakai busana tradisi Murut curi tumpuan ramai

Kota Kinabalu: Seorang graduan mencuri tumpuan ramai apabila hadir ke Majlis Konvokesyen Universiti Malaysia Sabah (UMS) dengan menggayakan busana tradisi etnik Murut.

Mira Afattirisia Arim, 25, tampil bergaya mengenakan busana Pinongkoloh dengan tujuan memperkenal dan mempromosi kesenian busana etnik sendiri.

“Saya satu-satunya anak dalam adik-beradik yang dapat menyambung pengajian ke universiti dan bertekad untuk menyakinkan kepada orang kampung bahawa etnik Murut juga boleh berjaya.

“Kebanyakan penduduk di kawasan kampung saya tidak mempuyai minat untuk menyambung pelajaran.

“Saya tekad membawa harapan keluarga yang ingin menyaksikan saya naik ke atas pentas menerima segulung ijazah,” katanya dalam nada sebak.

Mira yang memasang azam untuk memasuki universiti sejak kecil, bertekad akan melanjutkan pengajian di UMS kerana mahu dekat dengan keluarga serta memudahkan ibu bapanya datang ketika konvokesyen.

Walaupun sudah berkahwin dan bergelar ibu kepada seorang cahaya mata, beliau sentiasa mendapat sokongan daripada suami untuk menyambung pengajian ke peringkat lebih tinggi.

“Hari ini, impian saya untuk menyarungkan jubah pada ibu saya menjadi kenyataan.

“Saya ingin menceburi bidang pendidikan dengan menyambung pengajian Diploma Pendidikan Lepasan Ijazah (DPLI) di Universiti Pendidikan Sultan Idris pada bulan Januari tahun depan.

“Sudah tentu, saya akan mengenakan pakaian ini semula ketika menerima diploma pendidikan (DPLI) bersama ibu bapa dan membawa mereka menaiki kapal terbang serta merasai suasana dan budaya di Semenanjung,” katanya lagi.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|