Kerjasama UCSF, UTP bangunkan modal insan sektor O&G Sabah

Kerjasama UCSF, UTP bangunkan modal insan sektor O&G Sabah

Kota Kinabalu: Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah, Datuk Seri Masidi Manjun mencadangkan agar Universiti Teknologi Petronas (UTP) menubuhkan sebuah cawangan di Sabah bagi mempercepatkan proses menghasilkan lebih ramai graduan dalam sektor minyak dan gas (O&G).

Beliau berkata, kerajaan negeri sudah bersedia untuk membincangkan perkara tersebut bersama Petronas dan beliau berharap untuk melihat Yayasan Sabah mengambil tugas untuk membuat kertas cadangan bagi dikemukakan kepada syarikat minyak negara itu.

Pada masa yang sama, beliau turut memohon agar mereka melihat kemungkinan untuk menggunakan kampus Kolej Universiti Yayasan Sabah (UCSF) di Sembulan sebagai tapak cadangan memandangkan kemudahan yang sedia ada.

“Penubuhan cawangan UTP yang dicadangkan di Sabah adalah bagi mempercepatkan langkah untuk mewujudkan lebih banyak graduan dalam sektor minyak dan gas di sini,” katanya ketika mewakili Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor pada pelancaran Agenda Pembangunan Modal Insan Sabah-Petronas (HCDA), baru-baru ini.

Beliau turut meminta Ketua Pegawai Operasi Innoprise Corporation Sdn Bhd (ICSB), Douglas Joinol untuk berhubung dengan Naib Presiden Kanan, Pelaksanaan Projek dan Teknologi, Petronas, Haji Bacho Pilong, yang juga Pengerusi UTP, untuk memulakan proses itu.

Haji Bacho telah merujuk Douglas kepada Naib Canselor UTP, Prof Dr Mohamed Ibrahim.

Masidi berkata, susulan itu, kedua pihak telah bersetuju untuk mengadakan mesyuarat bagi membincangkan dan meneroka kemungkinan terbaik bagaimana Yayasan Sabah, melalui UCSF dan UTP, boleh bekerjasama dalam memudahkan kehadiran UTP di Sabah.

Berikutan perjanjian di antara Naib Canselor UTP dan wakil ICSB, satu mesyuarat telah diadakan di Bilik Senat.

“Semasa mesyuarat berlangsung, semua pihak mengesahkan bahawa terdapat keperluan untuk mewujudkan lebih banyak graduan dalam sektor minyak dan gas di Sabah.

“Mesyuarat itu juga menyokong cadangan kerajaan negeri agar UTP mempunyai kehadiran di negeri ini, dan untuk bekerjasama dengan YS melalui UCSF untuk mempercepatkan penghasilan lebih banyak graduan yang dapat menyokong perkembangan sektor minyak dan gas tempatan,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi UCSF, Datuk Dr Mohd Yaakub Johari menyatakan bahawa satu kertas cadangan teliti akan disiapkan oleh UCSF dan Yayasan Sabah untuk pertimbangan UTP.

Kata Yaakub, kertas cadangan itu akan menyediakan hala tuju dan pilihan yang luas untuk memudahkan kehadiran UTP di Sabah, sebelum dipanjangkan untuk perbincangan lanjut antara kerajaan negeri dan Petronas.

Sebelum ini, Yayasan Sabah telah mengadakan perbincangan dengan UTP untuk meneroka kerjasama berkaitan dengan latihan PENJANA, sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM) serta Inovasi Sosial.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|