Bot bertembung, seorang lelaki hilang di laut

Bot bertembung, seorang lelaki hilang di laut

Semporna: Seorang lelaki dikhuatiri lemas selepas bot dinaiki bertembung dengan bot milik pihak berkuasa, dalam kejadian berhampiran Pulau Bohayen, di sini, hari ini.

Dalam insiden kira-kira jam 6 pagi itu, mangsa dilaporkan hilang sejurus selepas kejadian dan sehingga kini masih gagal ditemui.

Difahamkan, bot yang dinaiki mangsa dikatakan dikesan bergerak keluar ke perairan negara jiran dalam keadaan mencurigakan sebelum dikejar dan berlaku perlanggaran.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan itu pada 6.20 pagi.

Katanya, seramai lima pegawai dan anggota bersama sebuah bot penyelamat terus dikerah ke lokasi kejadian.

“Sebaik tiba di tempat kejadian, operasi mencari dan menyelamat mangsa terus dijalankan di sekitar lokasi perlanggaran antara kedua-dua bot.

“Setakat ini, identiti mangsa yang hilang juga masih belum dapat dikenalpasti,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.

Menurutnya, sebarang maklumat terkini akan dikemaskini dari semasa ke semasa.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|