Kota Kinabalu: Jabatan Meteorologi (MET Malaysia) petang ini mengeluarkan amaran hujan berterusan tahap waspada (kuning) di kawasan Pantai Barat, Utara dan Pedalaman Sabah serta Labuan.
Daerah yang terbabit dengan amaran itu ialah Papar, Putatan, Penampang, Kota Kinabalu, Tuaran dan Kota Belud) bagi kawasan Pantai Barat, manakala Sipitang, Kuala Penyu dan Beaufort bagi kawsan Pedalaman serta Kudat di kawasan utara.
Negeri jiran, Sarawak turut mengalami keadaan cuaca yang sama, khususnya di Mukah, Bintulu, Miri (Subis, Beluru, Miri dan Marudi) serta Limbang.
Sementara itu, MET Malaysia turut mengeluarkan amaran angin kencang dan laut bergelora kategori pertama yang dikemas kini pada jam 12 tengah hari tadi dengan kelajuan angin mencapai 40 hingga 50 kilometer sejam dan ketinggian ombak mencapai 3.5 meter di kawasan perairan Sabah Barat, Labuan dan Sabah Timur.
Keadaan itu diramal berlaku mulai hari ini hingga Jumaat, 30 September 2022.
Maklumat lanjut cuaca terkini boleh diperolehi melalui laman web rasmi MET Malaysia atau aplikasi mudah alih myCuaca dan laman media sosial rasmi jabatan.
MET Malaysia turut menyediakan talian hotline 1-300-22-1638 yang boleh dihubungi bagi sebarang pertanyaan lanjut.
-Deasoka