Masyarakat Hakka Tenom ambil inisiatif promosi budaya, tradisi

Masyarakat Hakka Tenom ambil inisiatif promosi budaya, tradisi

Tenom: Masyarakat Hakka di Tenom tidak melepaskan peluang untuk mempromosikan daerah ini sebagai destinasi pelancongan kepada pengunjung yang berminat untuk merasakan sendiri masakan dan budaya mereka.

Pada Ahad lalu, mereka telah berkumpul di sebuah inap ladang (farmstay) Hakka yang baru ditubuhkan di Kampung Lagud untuk berkongsi beberapa hidangan mereka bersama pasukan Lembaga Pelancongan Sabah (STB) yang diketuai oleh Pengerusinya, Datuk Joniston Bangkuai.

Joniston (lapan kiri) bersama masyarakat Hakka semasa lawatannya ke Tenom.

Inap ladang yang diasaskan oleh usahawan tempatan, Lawrence Wong itu adalah produk pelancongan komuniti yang baharu dan merupakan langkah pertama dalam usaha memperkasakan masyarakat Hakka di daerah tersebut.

Kampung Lagud merupakan rumah kepada sekitar 30 buah keluarga Hakka, kesemua mereka bekerja sebagai petani dan berniat untuk mengubah kawasan mereka menjadi Kampung Kebudayaan dan Inap Ladang Lagud Hakka.

Wong yang sering melancong atas urusan perniagaan berkata, beliau kembali ke kampung itu dan menubuhkan sebuah inap ladang selepas mendapat inspirasi untuk berbuat demikian oleh beberapa komuniti yang berjaya dan cerita pelancongan luar bandar.

“Ini bukan sesuatu yang saya akan lakukan sendiri kerana kerja berpasukan penting untuk membawa masyarakat ke hadapan dan memperkasakan kampung melalui pelancongan.

“Kami yakin STB akan membantu masyarakat Hakka di sini kerana ini pasti akan meningkatkan keyakinan kami untuk mengambil bahagian dalam kejayaan pelancongan,” katanya menerusi satu kenyataan media, hari ini.

Inap ladang Wong itu memberi peluang kepada pelawat untuk mempelajari mengenai tanaman tempatan, kerana Tenom juga terkenal dengan pelancongan agro.

Pada masa yang sama, mereka turut menggalakkan para tetamu untuk melawat inap ladang jiran yang lain, dikendalikan oleh penduduk kampung.

Di samping itu, inap ladangnya itu juga menjalin kerjasama dengan petani dan pemilik restoran Hakka lain untuk menyediakan juadah untuk dihidangkan kepada pengunjung.

Seorang usahawan yang mengendalikan Padas Farmstay, Tham Yau Kong, berpendapat bahawa pelancongan makanan merupakan segmen signifikan dan berpotensi untuk menarik pelanggan kembali.

“Setelah lama berada dalam industri (pelancongan), saya ingin berkongsi pengalaman yang berjaya saya perolehi dan membantu masyarakat Cina tempatan di sini kerana mereka kaya dengan budaya, tradisi dan warisan.

“Makanan Hakka Tenom sudah wujud selama beberapa dekad tetapi tidak banyak usaha dilakukan untuk mengkomersialkannya.

“Oleh itu, saya ingin mewar-warkan perkara ini agar lebih ramai orang boleh datang untuk meneroka dan menikmati masakan Hakka yang asli,” katanya.

Tham turut menzahirkan harapan agar daerah Kudat, yang juga mempunyai populasi Hakka yang agak besar, mendapat inspirasi melalui inisiatif yang telah diambil komuniti Hakka di Tenom.

Sementara itu, Joniston berkata, dengan memperluaskan pelancongan gastronomi di daerah pedalaman ini akan membolehkan Tenom memanfaatkan permintaan untuk pengalaman Hakka yang sahih.

“Ini adalah permulaan yang baik untuk memperkasa masyarakat Hakka dan saya melihat potensi untuk memperluaskan usaha ini ke daerah lain, yang mempunyai penduduk Hakka.

“Kami di STB melihat ini sebagai usaha untuk membawa lebih banyak pelancong, terutama orang Cina, dan saya yakin pengalaman ini akan menjadi tumpuan bukan sahaja kepada pelancong tetapi juga penduduk tempatan,” kata Joniston yang juga merangkap Pembantu Menteri Pelancongan, Kebudayaan, dan Alam Sekitar.

Di samping melawat ke Kampung Lagud, mereka turut mengunjungi Tenom Valley yang dikendalikan oleh Roger Voo; Ladang Buah Tropika yang dikendalikan oleh Ken Lim; Pamelo Tenom Farm yang dikendalikan oleh Fiona Yong, dan Padas Farmstay untuk mengemas kini produk semasa lawatan kerja mereka.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|