Tumpahan merkuri, seorang pelajar cedera

Tumpahan merkuri, seorang pelajar cedera

Papar: Seorang pelajar tingkatan empat di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) St Mary, di sini, dilaporkan cedera, dalam insiden tumpahan merkuri akibat termometer pecah, hari ini.

Dalam kejadian jam 9 pagi itu, pelajar perempuan berusia 16 tahun terbabit dikatakan terus dihantar ke Hospital Papar untuk mendapatkan rawatan lanjut sebelum ketibaan pasukan bomba.

Anggota bomba membersihkan sisa tumpahan merkuri menggunakan serbuk sulfur.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan itu pada 9.26 pagi.

Katanya, seramai empat pegawai dan anggota bersama sebuah jentera dan Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) terus dikerah ke lokasi kejadian.

“Sebaik tiba di lokasi kejadian, pasukan bomba bertindak membersihkan sisa tumpahan merkuri menggunakan serbuk sulfur.

“Sisa tumpahan berkenaan terus dimasukkan ke dalam ‘disposable bag’ untuk tindakan pelupusan,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.

Menurutnya, seorang pelajar perempuan yang mengalami kecederaan turut dihantar ke Hospital Papar untuk mendapatkan rawatan lanjut.

Katanya, pasukan operasi kemudiannya menjalankan pemeriksaan lanjut bagi memastikan tiada lagi kemerbahayaan lain sebelum operasi ditamatkan pada jam 10.13 pagi.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|