Sabah optimis terima lebih sejuta pelancong

Sabah optimis terima lebih sejuta pelancong

Kota Kinabalu: Sabah optimis untuk menyambut ketibaan lebih sejuta pelancong pada tahun ini.

Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, ia susulan penerimaan seramai 857,675 pelancong setakat Julai lalu, mewakili peningkatan ketara sebanyak 632 peratus berbanding tempoh yang sama tahun lepas dengan anggaran RM1.4 bilion dalam penerimaan pelancongan.

Hajiji menyaksikan penyerahan sumbangan RM50,000 daripada Kumpulan Syarikat Chee Swee Cheng kepada Rumah Anak Yatim dan Miskin Tuaran.

Katanya, setakat ini, peningkatan itu didorong oleh sektor pelancongan domestik yang menyumbang sejumlah 785,123 pelancong, iaitu peningkatan sebanyak 582 peratus bagi tempoh yang sama.

“Dengan pembukaan semula sempadan negara, bilangan ketibaan pelancong antarabangsa mencatatkan pertumbuhan yang ketara dengan 72,552 ketibaan iaitu peningkatan sebanyak 3,680 peratus bagi tujuh bulan pertama 2022.

“Ini sememangnya petanda baik, kita melihat ketibaan pelancong semakin rancak dan saya gembira bahawa pemain industri pelancongan telah bergabung dengan kita untuk meningkatkan momentum ini,” katanya ketika berucap sempena perasmian Holiday Inn Express Kota Kinabalu City Centre, hari ini.

Hajiji berkata, beliau turut gembira bahawa sektor penerbangan domestik dan antarabangsa jugamenunjukkan trend yang menaik.

Menurutnya, buat masa ini, terdapat 367 penerbangan domestik mingguan dengan kapasiti kerusi sebanyak 60,162 ke Kuala Lumpur, Johor Bahru, Pulau Pinang, Kota Bahru, Terengganu, Labuan, Kuching, Miri, Sibu, Bintulu dan Mulu.

Tambah beliau, bagi sektor penerbangan antarabangsa, Sabah kini menyambungkan penerbangan ke lima destinasi iaitu Singapura, Brunei, Incheon, Manila dan Bangkok pada sejumlah 39 penerbangan mingguan dengan kapasiti kerusi sebanyak 7,016.

“Selaras dengan usaha pemulihan pelancongan, pemberian insentif kepada syarikat penerbangan antarabangsa telah dilaksanakan sebagai sebahagian daripada strategi pemulihan pelancongan pasca-pandemik.

“Insentif ini bertujuan untuk menyokong dan menggalakkan syarikat penerbangan untuk mengembalikan perkhidmatan udara, memulakan laluan antarabangsa baru, atau mengadakan penerbangan khas ke Sabah. Ini adalah penting kerana 96 peratus ketibaan pelancong ke Sabah adalah melalui udara,” katanya.

Hajiji berkata, pada peringkat domestik, usaha tertumpu kepada kerjasama pintar dengan rakan industri seperti syarikat penerbangan, persatuan pelancongan, dan Lembaga Penggalakan Pelancongan Malaysia (Tourism Malaysia).

Katanya, inisiatif kerjasama ini termasuk kempen keterlihatan tinggi serta lawatan suai kenal untuk media dan pengaruh media sosial, sambil menambah, penyertaan dalam pameran pelancongan seperti MATTA Fair, MITM Travel Fair akan dipertingkatkan lagi.

Sementara itu, beliau berkata, Sabah telah meraih pelaburan asing bernilai RM9.9 bilion dari tempoh Januari hingga September tahun ini, yang penting dalam memberi kesan berganda untuk meningkatkan ekonomi.

“Saya ingin melihat bahawa ia diterjemahkan dalam pekerjaan yang dibuka untuk rakyat tempatan. Untuk hotel baru seperti Holiday Inn Express, kita ingin melihat bahawa kesan itu diukur bukan sahaja melalui aliran pengunjung dan sumber mereka, tetapi juga melalui peluang untuk mengambil rakyat tempatan untuk bekerja di sini.

“Kuncinya adalah bahawa pelaburan yang kita bawa diukur melalui kesan motivasi pada perusahaan tempatan lain, selain melihat bahawa kesannya akan mengalir kepada masyarakat setempat,” katanya.

Dengan jangkaan lebih banyak ketibaan masuk ke Sabah, kerajaan negeri yakin jumlah kapasiti bilik dapat menampung, dengan penambahan sekurang-kurangnya 11 hotel baharu yang dirancang atau dibina dan siap dalam tempoh beberapa tahun akan datang dengan 3,500 bilik tambahan.

Dalam majlis itu, Hajiji turut menyaksikan penyerahan sumbangan bernilai RM50,000 daripada Kumpulan Syarikat Chee Swee Cheng kepada Rumah Anak Yatim dan Miskin Tuaran.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|