Kerjasama berpasukan resipi terbaik kejayaan Sabah FC – Bung Moktar 

Kota Kinabalu: Setiap pemain perlu bekerjasama dalam memainkan peranan masing-masing untuk menghasilkan kejayaan buat pasukan Sabah FC.

Presiden Persatuan Bola Sepak Sabah (SAFA), Datuk Seri Bung Moktar Radin berkata, itu resipi terbaik bagi memastikan jentera pertahanan, tengah dan serangan berfungsi dengan baik sekali gus mencipta kemenangan.

Bung Moktar (dua kiri) menyampaikan sumbangan Aidilfitri kepada rumah amal dan pusat tahfiz.

Katanya, semua 11 pemain semestinya perlu berunding dan menyusun strategi untuk melakukan serangan serta mengawal lawan daripada merobek kubu pertahanan pasukan.

“Bermainlah sebagai satu pasukan, jangan tertekan dan panik walaupun sudah ketinggalan dengan satu, dua atau tiga gol.

Bung Moktar dan seluruh warga Sabah FC serta pelajar tahfiz mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri.

“Kapten pasukan perlu memainkan peranan menenangkan pasukan dan merangka gerakan mengikut strategi jurulatih. Sudah pasti kejayaan dapat dilakar bersama,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Sungkai bersama Sabah FC yang diadakan di Hotel Hilton, di sini, semalam.

Pada majlis berbuka puasa berkenaan, sebanyak 10 rumah amal dan pusat tahfiz turut diraikan bersama dan diberikan sumbangan sempena Hari Raya Aidilfitri.

Turut hadir Timbalan Presiden SAFA, Datuk Juil Nuatim; Ketua Pegawai Eksekutif Sabah FC, Khairul Firdaus Akbar Khan dan barisan kepimpinan tertinggi badan bola sepak berkenaan serta pemain.

Bung Moktar berkata, kualiti permainan Sabah FC juga perlu terus sentiasa dipertingkatkan dari semasa ke semasa.

Sementara itu, Bung Moktar berkata, beliau sudah merancang pelan pembangunan untuk menjana pendapatan tetap Sabah FC.

Katanya, perancangan dengan keluasan sembilan ekar tanah itu membabitkan pembinaan fasiliti sukan termasuk padang latihan serta bangunan pejabat dan lot kedai.

“Ia akan menjadi sumber pendapatan tetap buat pasukan sekali gus membantu pembangunan bola sepak bermula dari akar umbi Sabah FC,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|