Kerajaan pandang serius isu gaji dan kos sara hidup

Kerajaan pandang serius isu gaji dan kos sara hidup

Kota Kinabalu: Kerajaan sentiasa memandang serius mengenai isu gaji yang didakwa tidak seimbang dengan kos sara hidup yang terpaksa ditanggung rakyat di negara ini.

Timbalan Menteri Sumber Manusia, Mustapha Sakmud berkata, beliau mengakui kadar gaji yang ditetapkan majikan ketika ini dilihat tidak setimpal dengan peningkatan harga barang.

Di samping itu katanya, negara pada saat ini juga masih melalui fasa pemulihan ekonomi disebabkan pasca pandemik Covid-19 yang memerlukan masa untuk pulih sepenuhnya.

“Kita agak ketinggalan sebenarnya. Saya faham betul itu. Sebab bayangkan gaji kita dahulu masa saya kerja Telekom yang pengambilan baharu dengan gaji sekarangpun lebih kurang sama saja, peningkatan harga barang semakin naik.

“Bagi kita masa terutama Yang Amat Berhormat Perdana Menteri, bagi masa untuk memulihkan ekonomi negara ini barulah kita dapat memikirkan sama ada dapat kita tingkatkan lagi gaji ini ke paras yang lebih tinggi,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Program Kerjaya dan Skim Keselamatan Sosial Suri Rumah Perkeso 2022 di Dewan Manggatal, di sini, hari ini.

Mustapha berkata, kadar gaji minima di negara ini sudah ditingkatkan kepada RM1,500 namun negara masih memerlukan masa dengan mengambil kira keadaan semua pihak termasuk majikan.

Sehubungan itu, Mustapha berkata, golongan muda di negara ini perlu memanfaatkan peluang pekerjaan yang wujud di depan mata dan tidak terlalu memilih bagi mengelakkan diri daripada menganggur terlalu lama.

Katanya, Kementerian Sumber Manusia turut melakukan pelbagai usaha kolaborasi bersama syarikat-syarikat tempatan bagi tujuan penempatan pekerjaan.

“Saya mintalah kepada pencari kerja kita, anak-anak muda ini jangan terlalu memilih kerjalah. Jangan terlalu memilih kerja dan cuba buat pemadanan.

“Padankan dengan kerja yang ada ini dan ambil dahulu, kerja dahulu. Ambil pengalaman supaya tidak terlalu lama menganggur.

“Pada masa yang sama juga kita cuba berkolaborasi dengan syarikat-syarikat yang ada di sekitar Sabah terutama Sepanggar ini untuk mencari apa keperluan mereka dan itupun kita akan buat pemadanan kerja supaya ia selaras dengan (kehendak) pencari kerja,” katanya.

Negara mencatatkan penurunan kadar pengangguran sehingga 3.7 peratus (611,800) pada suku ketiga tahun ini berbanding suku kedua iaitu sebanyak 3.9 peratus (642,000).

Sabah turut mencatatkan penurunan kadar pengangguran sebanyak 0.9 peratus kepada 8.2 peratus (174,200 orang) pada suku ketiga tahun yang sama berbanding suku pertama iaitu 9.1 peratus (188,300 orang).

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|