Tular video lelaki dibelasah kerana didakwa mencuri barang termasuk syampu

Tular video lelaki dibelasah kerana didakwa mencuri barang termasuk syampu

Semporna: Video tular memaparkan lelaki cedera dibelasah sekumpulan individu selepas didakwa mencuri beberapa barang termasuk syampu di sebuah pasar raya di sini, menerima pelbagai reaksi dan komen netizen.

Dalam rakaman video berdurasi satu minit 36 saat itu memaparkan, lelaki terbabit dibelasah di kawasan parkir pasar raya sambil diperhatikan oleh orang awam.

Malah, mangsa yang dilihat cuba melepaskan diri turut terbaring dalam keadaan mulutnya berlumuran darah selepas ditendang salah seorang penyerang.

Beberapa orang awam di kawasan berkenaan turut merayu supaya tindakan itu dihentikan selain ada yang meminta supaya mangsa diberikan air.

Kejadian yang tular di media sosial kemudiannya mengundang pelbagai reaksi negatif berikutan tindakan pelaku yang menendang mangsa sebagai melampau.

Netizen turut menyuarakan pendapat bahawa mangsa sepatutnya diserahkan kepada pihak polis dan bukannya diperlakukan sesuka hati.

Difahamkan, atas dasar kasihan, ada pihak yang tampil untuk membayar semua barangan yang didakwa dicuri oleh mangsa.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Semporna, Superintenden Mohd Farhan Lee ketika dihubungi berkata pihaknya masih menjalankan siasatan lanjut berhubung kejadian berkenaan.

“Perkembangan kes saya akan maklumkan,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|