3,529 suri rumah seluruh negara berdaftar dalam Skim Keselamatan Sosial

3,529 suri rumah seluruh negara berdaftar dalam Skim Keselamatan Sosial

Kota Kinabalu: Seramai 3,529 suri rumah sudah mendaftarkan diri bagi Skim Keselamatan Sosial Suri Rumah (SKSSR) yang dilancarkan sejak 1 Disember lalu.

Menerusi pelaksanaan skim berkenaan, kerajaan memperuntukkan sebanyak RM20 juta bagi melindungi sasaran 150,000 suri rumah yang berdaftar menerusi pangkalan data e-Kasih di seluruh negara.

Timbalan Menteri Sumber Manusia, Mustapha Sakmud berkata, Selangor mencatatkan jumlah suri rumah tertinggi yang mendaftarkan diri untuk skim berkenaan iaitu sebanyak 1,042 orang.

Katanya, ia dikuti Johor dengan 435 orang dan Perak yang merekodkan seramai 319 orang.

“Bagi negeri Sabah, setakat ini, Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) hanya merekodkan pendaftaran seramai 92 suri rumah.

“Mengikut Data PERKESO, suri rumah yang layak bagi negeri Sabah adalah seramai 38,284 orang,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Program Kerjaya dan Skim Keselamatan Sosial Suri Rumah PERKESO 2022 di Dewan Manggatal, di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif PERKESO, Datuk Seri Dr Mohammed Azman Aziz Mohammed.

Mustapha berkata, usaha itu adalah selaras dengan matlamat kementerian yang sentiasa menekankan perlindungan sosial secara inklusif kepada semua golongan di negara ini.

Katanya, beliau percaya usaha itu akan memberi manfaat kepada warga negeri Sabah, khususnya dalam konteks penerimaan dan pemahaman terhadap skim perlindungan khusus untuk para suri rumah.

“Penduduk negeri Sabah sesungguhnya amat bertuah kerana saya difahamkan Sabah adalah antara negeri yang terawal dikunjungi bagi promosi Skim Keselamatan Sosial Suri Rumah yang baharu sahaja diperkenalkan ini.

“SKSSR diperkenalkan untuk memastikan suri rumah mendapat perlindungan keselamatan sosial apabila berlaku kemalangan, penyakit atau kematian, sama seperti golongan lain yang dilindungi PERKESO,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|