BERSATU hantar notis pengosongan 4 kerusi Parlimen

BERSATU hantar notis pengosongan 4 kerusi Parlimen

Kota Kinabalu: Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) sudah menghantar notis kepada Yang Dipertua Dewan Rakyat memaklumkan berlaku kekosongan luar jangka empat kerusi Parlimen yang diwakili bekas ahli parti itu di Sabah.

Dalam satu kenyataan hari ini, Naib Presiden BERSATU, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee, berkata penyerahan notis itu dibuat mengikut Perkara 49A (3) Perlembagaan Persekutuan.

Beliau berkata, notis itu membabitkan kerusi Parlimen Papar yang disandang Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Sabah, Sarawak dan Tugas-Tugas Khas, Datuk Armizan Mohd Ali; Batu Sapi (Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Khairul Firdaus Akbar Khan), Ranau (Datuk Jonathan Yasin dan Sipitang (Datuk Matbali Musah).

“BERSATU sudah menghantar notis kepada Yang Dipertua Dewan Rakyat untuk memastikan bahawa telah berlakunya kekosongan luar jangka dalam kalangan Ahli Dewan Rakyat menurut Perkara 49A(3) Perlembagaan Persekutuan melibatkan empat daripada ahlinya yang bertanding dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) sebagai ahli parti BERSATU dengan menggunakan logo parti Gabungan Rakyat Sabah (GRS).

“Melalui surat bertarikh 3 November 2022 daripada Setiausaha Badan Pimpinan BERSATU Negeri Sabah kepada Presiden BERSATU, YB (Yang Berhormat) Tan Sri Muhyiddin Yassin, mengesahkan bahawa keempat-empat Ahli Dewan Rakyat tersebut adalah antara calon yang akan bertanding pada PRU15 sebagai anggota BERSATU. Keahlian mereka dalam GRS adalah sebagai anggota parti BERSATU,” katanya.

Ronald yang juga Ketua Badan Pimpinan BERSATU Sabah berkata, kenyataan Pengerusi GRS yang juga Pengerusi BERSATU Sabah ketika itu, Datuk Hajiji Noor pada 2 November 2022 turut mengumumkan bahawa terdapat enam calon daripada BERSATU mewakili GRS untuk bertanding dalam PRU15.

Bagaimanapun katanya, pada 10 Disember 2022 , Hajiji yang juga Ketua Menteri Sabah membuat satu kenyataan media yang menyatakan bahawa kesemua pemimpin BERSATU Sabah keluar daripada parti itu, termasuk empat Ahli Parlimen yang menang atas tiket GRS pada PRU15.

Jelasnya, pada sidang Dewan Rakyat 19 Disember 2022 yang lalu, keempat-empat Ahli Dewan Rakyat itu berada di blok kerajaan.

“Tindakan menyertai dan duduk di blok yang tidak menyokong parti BERSATU yang diterajui oleh YB Tan Sri Muhyiddin Yassin merangkap Presiden BERSATU dan YB Datuk Seri Hamzah Zainudin sebagai Ketua Pembangkang adalah ‘crossing the floor’ dan ia melanggar janji pilihan raya mereka kepada pengundi.

“Akibat daripada itu, keahlian mereka sebagai ahlu parti BERSATU telah gugur mengikut perlembagaan BERSATU dan perkara ini sudah dimaklumkan melalui surat BERSATU bertarikh 21 Disember 2022.

“Justeru, menurut Perkara 49A(3) Perlembagaan Persekutuan, ahli-ahli Dewan Rakyat itu hendaklah terhenti menjadi ahli Dewan Rakyat dan kerusi mereka hendaklah dikosongkan,” katanya.

Ronald yang juga Ahli Parlimen Beluran berkata, pihaknya juga memohon kepada Yang Dioertua Dewan Rakyat supaya perkara itu dimaklumkan kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dalam tempoh 21 hari dari tarikh penerimaan notis bertulis supaya proses pilihan raya dapat diatur bagi mengisi kekosongan berkenaan.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|