Kota Kinabalu: Enam Pusat Pemindahan Sementara (PPS) yang menempatkan mangsa banjir dan air pasang besar di Pitas ditutup selepas semua mangsa dibenarkan pulang petang semalam.
Penutupan itu berikutan situasi semasa bencana di daerah berkenaan yang beransur reda selepas keadaan cuaca semakin baik sejak beberapa hari lalu.

Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sabah berkata, kesemua enam PPS di daerah berkenaan diisytihar tutup pada jam 4 petang, semalam.
“Perkembangan ini menjadikan Sandakan satu-satunya daerah yang masih ada mangsa di PPS susulan air pasang besar yang berlaku baru-baru ini.
“Setakat jam 8 pagi ini, seramai 652 mangsa daripada 113 Ketua Isi Rumah (KIR) dilaporkan masih berada di PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Anib 2,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
-Deasoka