Kerjasama erat pelbagai pihak jamin kemajuan sektor pertanian

Kerjasama erat pelbagai pihak jamin kemajuan sektor pertanian

Kota Kinabalu: Kerjasama yang lebih erat merentasi kerajaan, jabatan, bahagian dan agensi perlu diwujudkan dalam usaha memastikan sektor pertanian di negara ini sentiasa dinamik.

Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Chan Foong Hin berkata, pemasaran hasil tani merupakan komponen penting dalam memastikan kelangsungan rezeki pengusaha agro.

Foong Hin bersama Pengarah FAMA Sabah, Ribin Wahid (dua kanan).

Menurut beliau, ia juga penting bagi meningkatkan kebolehcapaian makanan kepada pengguna, khususnya golongan yang memerlukan.

“Dalam mendepani cabaran bekalan makanan yang melanda negara sejak kebelakangan ini, salah satu azam saya adalah untuk menyerlahkan potensi Sabah dan Sarawak.

“Ia dapat dilakukan dengan kawasan pertanian yang luas dan pelbagai jenis tanaman boleh diusahakan bagi menyumbang keterjaminan makanan di negara ini,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau berkata demikian selepas mengadakan lawatan kerja ke Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Sabah, hari ini.

Dalam pada itu, beliau berkata, autonomi Sabah dan Sarawak dalam sektor pertanian juga mempersembahkan satu dinamik yang unik bagi kementeriannya dalam merumuskan satu usaha yang bersepadu di peringkat nasional.

“Justeru, kerjasama yang lebih erat merentasi kerajaan, jabatan, bahagian, dan agensi perlu kita wujudkan.

“Saya hadir ke sini untuk belajar. Oleh itu, saya menghargai segala input daripada agensi-agensi termasuk FAMA di Sabah,” katanya.

Turut hadir dalam lawatan itu ialah Pengarah FAMA Sabah, Ribin Wahid.

Terdahulu, dalam lawatan julung kali ke Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP), Foong Hin berkata, masyarakat tani merupakan tunjang dalam menjamin rantaian bekalan makanan dan kebajikan mereka harus dipelihara.

“Saya akan menjalankan libat urus secara berkala bersama agensi Kerajaan Persekutuan dan agensi Kerajaan Sabah dan Sarawak.

“Ia bagi memahami realiti dan cabaran pekerja dalam sektor tani dan bagaimana Kerajaan Persekutuan dapat memainkan peranan bagi menangani cabaran tersebut.

“Perkara ini turut saya tekankan semasa pertemuan dua hala bersama Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor, semalam,” katanya lagi.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|