KEPKAS, Perbadanan Labuan bekerjasama bangunkan pelancongan Sabah-Labuan

KEPKAS, Perbadanan Labuan bekerjasama bangunkan pelancongan Sabah-Labuan

Labuan: Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah (KEPKAS) sedia bekerjasama dengan Perbadanan Labuan untuk membangunkan industri pelancongan di antara Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan.

Menterinya, Datuk Jafry Ariffin berkata perkara itu dibincangkan dalam pertemuannya dengan Pengerusi Perbadanan Labuan, Datuk Seri Amir Hussien; Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Pengurusan) Perbadanan Labuan, Rithuan Mohd Ismail dan wakil Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya, di sini, semalam.

Jafry menyampaikan cenderamata kepada Amir ketika kunjungan hormat di Perbadanan Labuan.

Beliau berkata, beberapa program boleh dilaksanakan menerusi kerjasama itu termasuk mempromosikan Geopark Labuan dan Geopark Kinabalu serta pulau yang terdapat di Labuan dan Sabah.

Selain itu, katanya usaha juga perlu dilakukan bagi mengetengahkan warisan sejarah Sabah dan Labuan antaranya Perkuburan Perang Labuan dan Tugu Peringatan Perang Kundasang.

“Kementerian juga mempunyai perancangan untuk mempromosi pelancongan menerusi platform sukan atau riadah termasuk aktiviti berbasikal, golf dan pertandingan memancing antarabangsa Sabah-Labuan.

“Saya yakin dan percaya dengan usaha berterusan di antara kedua-dua pihak pastinya mampu melonjakkan semula industri pelancongan yang terjejas akibat pandemik Covid-19,” katanya ketika kunjungan hormat di pejabat Perbadanan Labuan, semalam.

Katanya, Lembaga Pelancongan Sabah (STB) dan Labuan juga akan bekerjasama dengan Tourism Malaysia untuk membuat promosi pelancongan di Johor pada 22 hingga 25 Februari ini.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|