Kepimpinan utama parti politik mesti lalui tapisan SPRM sebelum sertai GRS

Kepimpinan utama parti politik mesti lalui tapisan SPRM sebelum sertai GRS

Kota Kinabalu: Kepimpinan utama parti politik yang ingin menyertai Gabungan Rakyat Sabah (GRS) mesti melalui tapisan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terlebih dahulu.

Perkara itu dicadangkan Setiausaha PAS Sabah, Dr Aliakbar Gulasan yang mahu supaya pemimpin parti politik baharu atau lama yang ingin menyertai gabungan itu dalam kalangan yang bebas rasuah.

Katanya, GRS harus menetapkan syarat yang ketat supaya semua ahli dalam gabungan itu penuh dengan integriti dan tidak terlibat dengan sebarang gejala rasuah atau salah guna kuasa.

“Saya melihat GRS mesti membuktikan keutamaan rakyat adalah lebih penting kerana rasuah boleh menyebabkan seluruh sistem pentadbiran rosak dan rakyat yang akan menerima kesan negatifnya.

“Ditambah pula sekarang ini, anak muda lebih cakna dengan ketelusan dan integriti. Rakyat khususnya anak muda dilihat sudah bosan dengan budaya politik lama. Jika ada tanda-tanda bersalah mereka akan cuba merisik untuk menyertai parti pemerintah,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dilantik berkata, budaya politik yang lama itu dilihat sudah lapuk.

“Saya yakin semua kepimpinan GRS termasuklah kami dari PAS akan terus menjamin sistem negeri ini diurus dengan penuh integriti,” katanya.

Sebelum ini, bekas Naib Presiden Parti Warisan (WARISAN), Datuk Peter Anthony yang kini mengetuai parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM) menyatakan hasratnya untuk menyertai GRS jika gabungan itu sudah didaftarkan secara rasmi.

Ketika ini Peter juga sedang berdepan dengan beberapa pertuduhan di mahkamah berkaitan pemalsuan dokumen, pengubahan wang haram lebih RM8.75 juta dan didakwa bersubahat dalam kes pecah amanah.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|