Dua terselamat kenderaan terbabas, terbalik dalam parit

Dua terselamat kenderaan terbabas, terbalik dalam parit

Penampang: Dua lelaki berdepan situasi mencemaskan selepas kenderaan pacuan empat roda dinaiki terbabas sebelum terbalik ke dalam sebuah parit di Jalan Pomotodon Inobong, di sini, petang tadi.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, pihaknya menerima panggilan mengenai kejadian itu jam 6.49 petang.

Katanya, sembilan anggota termasuk pegawai dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Penampang dikejarkan ke lokasi kejadian.

“Kemalangan membabitkan sebuah kenderaan jenis Ford Ranger terbabas sendiri lalu terbalik ke dalam parit.

“Dua mangsa terlibat telah keluar sendiri dan tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Menurutnya, pasukan bomba bertindak membuat pemeriksaan untuk memastikan tiada bahaya lain di lokasi kejadian.

“Operasi tamat pada jam 7.15 malam,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|