Kota Kinabalu: Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) menahan sebuah lori kontena selepas dipercayai cuba membawa masuk sayap ayam tanpa kelulusan untuk pasaran tempatan.
Pembantu Menteri Pertanian dan Perikanan Datuk James Ratib berkata, lori yang membawa sayap ayam berkenaan berjaya dikesan pasukan operasi JPV di Jalan Sepanggar, semalam.
Katanya, pasukan operasi JPV dan polis kemudiannya bertindak mengekori lori kontena berkenaan sebelum ditahan untuk pemeriksaan.
“Hasil pemeriksaan, pihak JPV mendapati kontena yang dibawa masuk dari negara Poland itu membawa bekalan kepak ayam yang termasuk dalam senarai tidak dibenarkan.
“Semua bekalan kepak ayam itu terus dirampas dan pihak JPV membuat laporan polis untuk tindakan selanjutnya,” katanya semasa turut serta dalam operasi terbabit.
James berkata, operasi pembanterasan kegiatan penyeludupan barangan yang menyalahi undang-undang akan diteruskan dari semasa ke semasa.
“Ia bagi memastikan bekalan ayam serta daging yang dibawa masuk ke Sabah mempunyai status halal.
“Kita juga harapkan pemain industri pembekalan ayam supaya memperoleh sijil halal bagi mengelak daripada dikenakan tindakan pada masa akan datang,” katanya.
Sementara itu, James berkata, pasukan khas JPV itu baru ditubuhkan dan sudah melaksanakan operasi bersepadu selama dua hari.
“Bagk tempoh ini, kita sudah berjaya merekodkan tangkapan kontena yang membawa barangan tidak dibenarkan.
“Terima kasih kepada pihak PDRM dan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Sabah yang memberikan kerjasama dalam menjayakan operasi kali ini,” katanya.
-Deasoka