A-yamli, ayam ‘Tongkat Ali’ hasil inovasi UMS

A-yamli, ayam ‘Tongkat Ali’ hasil inovasi UMS

Penampang: Universiti Malaysia Sabah (UMS) menghasilkan inovasi baharu pengeluaran ayam pedaging komersial menggunakan ekstrak Tongkat Ali sebagai sebahagian daripada diet pemakanannya.

Menggunakan jenama A-yamli, daging ayam daripada inovasi itu yang kajiannnya bermula sejak 2011, lebih sihat kerana kurang lemak dan tidak bergantung kepada penggunaan antibiotik serta vaksin.

Timbalan Naib Canselor Penyelidikan dan Inovasi UMS, Prof Dr Rosalam Sarbatly, berkata menerusi kajian dan fasa pra pengkomersialan di lapangan, ekstrak Tongkat Ali terbukti dapat menjadikan ayam pedaging lebih aktif.

“Ia juga dapat mengurangkan kadar kematian ayam dan bau dalam reban serta mengurangkan kehadiran lalat.

“Hasil kajian juga mendapati bahawa kandungan protein pada ayam pedaging ini lebih tinggi manakala lemaknya pula kurang.

“Penggunaan Tongkat Ali kepada ayam pedaging ini juga menyebabkan isi atau daging ayam lebih pejal dan mempunyai rasa yang tersendiri,” katanya pada pelancaran produk A-yamli di sebuah pasar raya di sini, kelmarin.

Hadir sama Pengarah Urusan Petrogaya Sdn Bhd, Mazali Rajang; Pengarah Pusat Pengurusan Inovasi dan Pengkomersialan UMS, Prof Madya Dr Jidon @Adrian Janaun; Dekan FPT UMS, Prof Madya Dr Normah Awang Besar@Raffie dan Ketua Jualan dan Barangan CCV Retail Sdn Bhd, Lin Shih Lung.

Rosalam berkata, semua ujian dan pra pengkomersialan dilakukan di Sabah dan negara Brunei Darussalam yang akhirnya membawa kepada pengkomersialan A-yamli.

Katanya, produk A-yamli sebelum ini juga pernah dinobatkan sebagai pemenang pingat emas pada pertandingan inovasi di Seoul International Invention Fair pada 2013.

Jelasnya, penghasilan produk berkenaan adalah hasil kolaborasi atau kerjasama UMS dengan syarikat Petrogaya Sdn Bhd dalam pengkomersialannya.

“Sebagai hala tuju dan kelestarian, UMS juga sentiasa memantau keberkesanan projek pengkomersialan ini melalui syarikat milikan penuh universiti iaitu UMS Investment Holdings Sdn Bhd.

“Produk ayam premium A-yamli kini boleh diperoleh di pasar raya Pick N Pay Plaza 333, Penampang.

“Syabas dan tahniah saya ucapkan kepada penyelidik Fakulti Perhutanan Tropika (FPT), Ag Ahmad Mohd Yunus atas kejayaan menghasilkan inovasi yang berimpak tinggi ini,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|