Kota Kinabalu: Pemimpin UMNO di semua peringkat diingatkan supaya tidak menyekat mana-mana cawangan untuk bergerak aktif termasuk golongan muda dan profesional yang mahu menyertai parti itu.
Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Bung Moktar Radin berkata, terdapat beberapa kes di bahagian tertentu yang menyekat cawangan UMNO daripada mengadakan mesyuarat perwakilan dan aktiviti kerana tidak selari dengan kepimpinan bahagian.
“Perkara ini ada berlaku di beberapa bahagian disebabkan pemimpin cawangan tidak menyokong kepimpinan Ketua UMNO Bahagian, menyebabkan cawangan tersisih dan tidak dapat mengadakan mesyuarat dan disekat hanya kerana ingin memperkukuhkan kedudukan sebagai Ketua bahagian,” katanya ketika merasmikan program Retreat UMNO negeri Melaka di Hilton Hotel Kota Kinabalu, semalam.
Hadir sama Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Melaka, Datuk Seri Abd Rauf Yusoh dan Timbalan ketua UMNO Sabah, Datuk Yakub Khan.
Bung Moktar yang juga Ketua UMNO Sabah berkata perbuatan menyekat cawangan yang tidak selari dengan kepemimpinan bahagian bukanlah satu amalan demokarasi yang sihat dalam parti, sebaliknya boleh menjejaskan kekuatan parti.
“Alhmdulilah di Sabah, saya belum menerima laporan kes seperti ini, bagaimanapun sekiranya berlaku, tindakan tegas akan dilakukan termasuklah menggantung bahagian berkenaan,” katanya.
Beliau berkata, pemimpin UMNO perlu mengubah persepsi berkenaan dan memberi keutamaan untuk memperkukuhkan parti demi kepentingan negara.
Bung Moktar turut mengingatkan pemimpin UMNO supaya tidak menjadikan ancaman kedudukan dalam parti sebagai alasan bagi menyekat cawangan dan golongan muda serta profesional menyertai parti kerana ia akan merugikan UMNO sendiri.
Menurutnya, jika kepimpinan peringkat bahagian dan cawangan sentiasa bekerja keras menjalankan kerja-kerja parti, mereka tidak perlu gusar akan kehilangan jawatan kerana anggota akan terus menyokong mereka.
Mengulas program Retreat UMNO Melaka yang memilih Sabah sebagai lokasi program, Bung Moktar berharap pemukiman itu akan dapat memberikan sumber inspirasi baharu kepada pemimpin UMNO Melaka untuk memperkukuhkan parti.
“Kita telah mengembalikan maruah UMNO dengan kemenangan besar pada PRN Melaka, solidariti perjuangan ini perlu terus dipertingkatkan. Saya berharap pemilihan Sabah sebagai lokasi program ini akan memberikan idea baharu kepada pemimpin UMNO Melaka.
“UMNO Sabah mempunyai sejarah perjuangan yang berliku selepas PRU-14 kerana ditinggalkan ramai pemimpin, namun kerana masih ada pemimpin UMNO yang teguh dengan prinsip perjuangan, UMNO Sabah bangkit kembali selepas PRK Kimanis dan PRN-16.
“Sehingga kini UMNO masih bertapak di Sabah walau ada pihak mendakwa akan terkubur selepas PRU-14,” katanya.
-Deasoka