Tiada laporan ajaran Hadi Minallah di Sabah – Mohd Arifin

Tiada laporan ajaran Hadi Minallah di Sabah – Mohd Arifin

Kota Kinabalu: Belum ada laporan diterima berhubung penyebaran ajaran sesat Hadi Minallah ke negeri ini namun pemantauan akan terus dibuat Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS).

Menteri Tugas-Tugas Khas Sabah, Datuk Mohd Arifin Mohd Arif berkata, pihaknya akan mendapatkan maklumat lanjut berhubung perkara itu daripada JHEAINS.

“Setakat ini saya belum terima laporan. Saya akan dapatkan daripada bahagian penguat kuasa JHEAINS melalui pegawai pentadbiran daerah-daerah.

“Saya minta supaya mereka melihat perkara ini dan selepas itu kita akan buat ketetapan melalui JHEAINS dan Pejabat Mufti Sabah,” katanya kepada pemberita pada sidang akhbar pengumuman peperiksaan Sijil Menengah Ugama (SMU) 2021 di Wisma Muis, di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas jika ada laporan berhubung gerakan ajaran sesat Hadi Minallah di Sabah ketika ini.

Katanya lagi, pemantauan akan terus dibuat di seluruh daerah bagi menangani isu ajaran agama Islam yang bertentangan dengan pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah.

“Pemantauan akan kita buat di seluruh daerah. Imam di masjid-masjid dan guru-guru agama juga perlu peka terhadap perkara ini.

“Apa-apa yang rakyat atau masyarakat dengar yang canggung, yang tidak sesuai laporkan kepada JHEAINS, Muis atau Pejabat Mufti,” tegasnya.

Sebelum ini, ajaran sesat yang berasal dari negara jiran itu dikesan di beberapa negeri dan aktif menyebarkan dakyah sesat mereka melalui YouTube, Persatuan Nur Mutiara Mutmainnah.

Turut tular video seorang lelaki mendakwa sebagai pengasas ajaran itu, Wayang Hadi Kesumo atau Hadi Minallah Aminnullah Ahmad berasal dari Indonesia.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|