Kota Kinabalu: “Untuk menghadapi peperiksaan Sijil Menengah Ugama (SMU), perlu rajinkan diri mengulangkaji pelajaran, menyiapkan kerja sekolah dan memperbanyakkan hafalan, kerana hafalan kunci kemerlangan SMU,” kata pelajar cemerlang peperiksaan SMU 2021, Nur Damia Hasanuddin.
Nur Damia, 17, ketika ditemui media berkata, ketekunannya menuntut ilmu juga antara kunci kejayaan sehingga berjaya memperoleh sembilan mata pelajaran Mumtaz (cemerlang) dan masing-masing satu mata pelajaran mendapat Jayyid Jiddan (terbaik) dan Jayyid (baik).
“Antara cabaran yang saya hadapi adalah menghafal kerana ia bukan mudah jadi untuk peperiksaan ini saya sering menggunakan kaedah menulis nota ringkas supaya mudah menghafal dan mengingat semula apa yang dipelajari.
“Waktu yang sesuai untuk menghafal juga penting iaitu pada waktu awal pagi dan sebelum Maghrib serta waktu-waktu yang mustajab doa,” katanya ketika ditemui pada majlis pengumuman Keputusan SMU bagi 2021 di Wisma Muis, hari ini.
Nur Damia yang bercita-cita menjadi seorang pendidik turut merancang ingin melanjutkan pengajian di peringkat tertinggi di negara Asia Barat dalam bidang keagamaan.
“Saya mahu sambung pelajaran di Universiti Al-Azhar atau universiti di Jordan dan saya akan mohon selepas menghadapi Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) nanti,” katanya.
Seorang lagi pelajar cemerlang Muhammad Rujhan Bambang Rafadi Yusoff, 17, dari Sekolah Menengah Agama Negeri (SMAN) Kunak, turut berkongsi kejayaan dengan mengingatkan dirinya supaya tidak menjadi seorang yang malas.
“Untuk memperoleh kecemerlangan, kita mesti ada kesedaran untuk terus belajar dan jangan malas. Kuncinya kejayaan itu kita mesti kejar, kita tidak boleh malas.
“Biasanya saya akan belajar pada waktu sebelum subuh ketika tahajud iaitu antara jam 3 atau 4 pagi saya akan memulakan hafalan Al-Quran.
“Masa itu fikiran kita lebih segar senang mengingat dan lebih memudahkan untuk belajar,” katanya yang turut mendapat Mumtaz bagi empat mata pelajaran serta dua lagi Jayyid Jiddan .
Sementara itu, Menteri Tugas-Tugas Khas Sabah, Datuk Mohd Ariffin Mohd Arif berkata, seramai 335 pelajar lulus dengan masing-masing mendapat pangkat Mumtaz, Jayyid Jaidan, Jayyid dan Maqbul.
“Secara keseluruhan, prestasi keputusan bagi SMU bagi 2021 terdapat sedikit penurunan iaitu 89.09 peratus berbanding 89.42 peratus bagi 2020.
“Penurunan ini tidak signifikan atas beberapa sebab luar jangka melibatkan pandemik dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di seluruh negara.
“Namun diharap dengan adanya penambahan guru JHEAINS baru-baru ini dan kenaikan elaun guru dapat menyuntik semangat guru meningkatkan semula prestasi pelajarnya,” katanya.
-Deasoka