Kempen derma darah KRT Inanam berjaya kumpul 90 pain darah

Kempen derma darah KRT Inanam berjaya kumpul 90 pain darah

Kota Kinabalu: Kempen derma darah anjuran gabungan Kawasan Rukun Tetangga (KRT) sekitar Inanam, hari ini, berjaya mengumpul sebanyak 90 pain darah.

Kempen selama enam jam bermula jam 9 pagi yang diadakan di Tugu Peringatan Inanam itu adalah bagi membantu mengisi tabung darah Hospital Kudat yang kini berdepan kekurangan bekalan darah untuk keperluan semasa.

Antara penderma darah bersama petugas kempen sambil mengibar bendera Sabah sempena Hari Kebangsaan di Pekan Inanam.

Kempen dijayakan dengan kerjasama Persatuan Penderma Darah Negeri Sabah (Pendarah), Persatuan Thalassaemia Sabah, Pertubuhan Orang Asal Sabah dan Persatuan Kembara Radu Bukit Sabah serta Persatuan Bulan Sabit Merah.

Pengerusi Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Pekan Inanam, Datuk Wong Thien Fook berkata, selain menambahkan bekalan darah, kempen berkenaan juga adalah bagi meningkatkan kesedaran orang awam mengenai kepentingan menderma darah.

Petugas kempen derma darah turut mengagih bendera sempena sambutan Hari Kebangsaan di pekan Inanam.

Katanya, usaha murni itu mampu menyelamatkan nyawa insan yang memerlukan terutamanya pesakit Thalassaemia.

“Kita akan terus mengadakan program seumpama ini dari semasa ke semasa dalam usaha membantu pihak hospital mengisi tabung darah untuk kegunaan para pesakit yang memerlukan.

“Kami amat berterima kasih kepada orang ramai kerana sudi menderma darah dalam program yang diadakan buat kali pertama tahun ini,” katanya ketika ditemui, hari ini.

Wong yang juga pengerusi penganjur program berkenaan berkata, mengikut rekod hari ini, seramai 120 penderma tampil mendaftar namun hanya 90 yang dibenarkan untuk menderma darah.

Katanya, walaupun sasaran awal kempen ini adalah 100 pain darah namun pihaknya tetap berpuas hati dengan jumlah yang berjaya diperolehi.

“Kami berharap program seperti ini yang akan diadakan pada masa hadapan akan dapat mencapai jumlah yang lebih tinggi.

“Orang ramai yang ingin menderma darah tidak perlu risau kerana proses menderma darah dilaksanakan mengikut Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ketat seperti yang ditetapkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM),” katanya.

Sementara itu, program berkenaan turut mengedarkan bendera Malaysia dan Sabah kepada pengunjung serta pekedai di sekitar Inanam.

Penyerahan bendera itu disampaikan oleh semua petugas KRT yang turut hadir membantu menjayakan program berkenaan.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|