Wanita ditemui meninggal dunia dalam parit

Wanita ditemui meninggal dunia dalam parit

Kota Kinabalu: Seorang wanita ditemui meninggal dunia di dalam parit di Jalan Kampung Bambangan, berhampiran Restoran Gaya Utama, Inanam, di sini, awal pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 2 pagi itu, mangsa dipercayai berusia 50-an itu ditemui rakannya yang keluar mencarinya sekitar kawasan berkenaan.

Pasukan polis memeriksa mayat mangsa yang ditemui di dalam parit di Jalan Kampung Bambangan, Inanam.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Superitendan Kalsom Idris berkata, siasatan awal, mangsa dikatakan minum bersama rakannya di sebuah restoran berhampiran.

Katanya, mangsa kemudiannya dikatakan berjalan kaki seorang diri untuk balik ke rumahnya.

“Bimbang akan keselamatan mangsa yang mabuk, rakan mangsa cuba menjejaki mangsa sebelum menemuinya tidak sedarkan diri di dalam parit berkenaan.

Mayat wanita ditemui di dalam parit di Jalan Kampung Bambangan, Inanam.

“Mangsa ditemui dalam keadaan tidak sedarkan diri sebelum laporan polis dibuat oleh rakan mangsa untuk mendapatkan bantuan segera,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.

Kalsom berkata, pemeriksaan awal terhadap tubuh badan mangsa mendapati tidak ada sebarang kesan yang mencurigakan.

Katanya, setakat ini, butiran lengkap mangsa masih belum dapat dipastikan dan siasatan masih dijalankan.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|